BREAKING NEWS

Friday, 25 November 2016

Pemuda UMNO PP Buat Laporan Polis Pameran Lukisan Fitnah Terhadap Perdana Menteri


BUKIT BENDERA, 25 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini membuat satu laporan polis ekoran tindakan kartunis pro pembangkang Zunar yang mengadakan pameran lukisan berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ujar ketuanya Rafizal Abd Rahim, tindakan Zunar itu adalah satu tindakan melampau dan keterlaluan malah apa yang lebih mengecewakan adalah kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Dap telah memberikan permit kepada Zunar untuk mengadakan pameran tersebut di perkarangan Komtar.

“Kami Pemuda telah mendesak Zunar untuk segera menurunkan segala bahan pameran tersebut dan sekiranya bahan pameran tersebut dipamerkan semula, kami tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi mendesak ianya diturunkan.

“Sikap kerajaan negeri juga amat dikesalkan kerana membenarkan perkara yang keji sebegini berlaku. Ini adalah satu fitnah secara terang-terangan bagi merosakkan imej Perdana Menteri,”

Bagi Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman pula membidas kepimpinan kerajaan negeri kerana memberi contoh yang tidak baik kepada rakyat.

“Jika beginilah cara kepimpinan Dap sekiranya mereka berjaya memegang tampuk kepimpinan negara, bagaimana mereka mahu memastikan negara ini aman damai kerana mereka sendiri tidak reti untuk menghormati bangsa lain serta pemimpin negara.

“Kita walaupun berpolitik tidak sesekali menghina pemimpin mereka dengan keji walaupun pemimpin mereka Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terpalit dengan isu rasuah.

“Mereka sepatutnya cermin diri dan belek kain sendiri yang koyak rabak sebelum mahu menyelak kain orang lain.

“Saya cabar mereka untuk bersihkan dulu kepimpinan negeri Pulau Pinang yang sombong dan bongkak sebelum mahu menuding jari kepada orang lain,” bidasnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.