BREAKING NEWS

Thursday, 24 November 2016

Pengakuan Mahathir BUKTI Ahli Parlimen Pembangkang Akan Sokong RUU355 ?



Semenjak Rang Undang-Undang 355 (RUU355) dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang , Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen , banyak pihak khususnya dari kalangan pembangkang menolak rang undang-undang terbabit.

Sebahagian besar daripada mereka melihat rang undang-undang ini merupakan mekanisma awal daripada pihak kerajaan dan pimpinan Islam di Malaysia untuk menguatkuasakan undang-undang hudud yang begitu ditakuti oleh puak-puak pembangkang termasuklah sebahagiannya daripada orang Islam sendiri.

Entah mengapa undang-undang hudud ini terlalu digeruni oleh puak-puak pembangkang sedangkan undang-undang hudud ini bolehlah dianggap sama dengan undang-undang lain dari segi asas pelaksanaanya iaitu untuk membendung sebarang perlakuan jenayah dan kesalahan-kesalahan yang berkaitan.

Pelik sekali apabila melihat penolakan yang begitu bersungguh-sungguh oleh kalangan bukan Islam walaupun RUU355 itu langsung tidak menyentuh apatah lagi membabitkan mereka-mereka yang bukan beragama Islam.

Namun ada sesuatu yang lebih menarik disaat-saat RUU355 bakal dibentangkan sekali lagi dalam sesi Dewan Rakyat nanti.

Merujuk kepada kenyataan terbaru daripada Tun Mahathir yang kini seangkatan dengan kalangan mereka dari kem pembangkang , sudah semestinya sesi pembentangan di Dewan Rakyat kali ini akan mendapat sokongan 100% daripada semua Ahli Parlimen pembangkang kerana Tun Mahathir sendiri sudah pun mengakui betapa DAP yang kini mengepalai pembangkang secara politiknya dilihat Tun Mahathir sebagai parti yang sentiasa patuh kepada perlembagaan negara Malaysia.

Tun Mahathir selaku Pengerusi PPBM dalam kenyataannya menyebut kerjasama dengan DAP itu dibuat kerana berpendapat parti (DAP) itu telah menyatakan pendirian untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“(Adakah)DAP ini jahat sungguh? Sedangkan DAP, Amanah, PKR ketiga-tiga parti ini telah menyatakan pendirian mereka iaitu DAP dan rakan-rakan mereka akan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka menerima kedudukan Raja-Raja. Menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Mereka menerima kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini.

Jadi mengambil kira kenyataan Tun Mahathir tersebut maka jelaslah semua parti-parti yang disebut oleh Tun Mahathir itu bakal memberikan peluang yang cukup cerah untuk RUU355 diluluskan di Dewan Rakyat kelak.

Mana mungkin RUU355 boleh gagal dan ditolak memandangkan Tun Mahathir sendiri begitu optimis parti-parti DAP , PKR dan PAN adalah terdiri daripada kalangan mereka yang menerima semua kedudukan berkaitan Islam , orang Melayu dan Bumiputera.

Cuma sekiranya RUU355 masih lagi ditentang dan ditolak oleh pembangkang di Dewan Rakyat maka jelaslah kepada kita betapa kenyataan Tun Mahathir itu hanyalah untuk kepentingan politik atau paling tidak menghalalkan cara supaya kehadirannya bersama DAP tidak dilihat sebagai menjilat ludah sendiri.
 
Copyright © 2014 PenangKini.