BREAKING NEWS

Monday, 21 November 2016

Selangor tak cukup air, Pulau Pinang terlebih air

Jika Selangor dikatakan tidak cukup dengan bekalan air, Pulau Pinang pula terlebih air, demikian tempelak Adun Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin ketika sesi perbahasan Sidang Dun Pulau Pinang, hari ini.
Roslan turut meluahkan kekecewaannya setelah cerun bukit ditarah tanpa kawalan.

“Apabila kejadian banjir berlaku pelbagai pihak menuding jari antara satu sama lain, sedangkan sepatutnya penyelenggaraan perlu lebih kerap dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid.
Jahara sebelum itu meminta Kerajaan Pulau Pinang menjelaskan dakwaan salah sebuah persatuan bukan kerajaan yang juga aktivis alam sekitar yang mendakwa 56 pemajuan di lereng bukit sudah diluluskan.
“Adakah ini benar ataupun tidak? Ini yang dikatakan Penang Forum, saya minta Kerajaan Negeri jawab dakwaan ini.

“Jika kita lihat banjir kilat berlaku seperti air teh tarik, malah kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir juga sudah banjir, apakah yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun Jahara sebelum itu memaklumkan pihaknya memahami terdapat dua punca kejadian banjir kilat di negeri ini.

Jelasnya, ia termasuk bencana alam serta masalah yang ditimbulkan oleh manusia.
“Kita juga sedih apabila penduduk mengalami kerugian dan penderitaan berterusan ditanggung oleh mereka disebabkan bencana ini.

“Malah wail rakyat juga ‘teruk’ kerana perlu ambil pelbagai tindakan, mereka cuba buat sebaik mungkin bagi membantu rakyat, termasuk memberi bantuan makanan percuma serta memberi bantuan tertentu,” katanya.
Namun bantuan tidak dapat diberikan secara berterusan kepada penduduk yang ditimpa kejadian berkenaan.
“Memang kuasa alam kita tidak dapat kawal, tetapi masalah pembangunan seperti longkang tersumbat serta penebangan hutan adalah sepatutnya dikawal.

“Kita memang banyak menerima laporan mengenai kawasan bukit diteroka, malah turut dimaklumkan ada beberapa lokasi yang dikatakan menjadi tempat penanaman sayuran bersebelahan dengan hutan simpan, adakah ia patut dilakukan sedangkan ia berdekatan kawasan terlindung,” katanya.

SINAR HARIAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.