BREAKING NEWS

Monday, 14 November 2016

Tabung Haji: Keyakinan pencarum semakin pulih

Keyakinan pencarum terhadap Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kini semakin pulih apabila agensi itu mencatat jumlah penyimpan yang semakin bertambah dengan jumlah simpanan yang lebih besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, berdasar perkembangan positif itu, beliau berharap tiada lagi tohmahan yang dilemparkan terhadap Tabung Haji ketika agensi tersebut sedang meraih kepercayaan terutama dalam kalangan penyimpan beragama Islam.

“Saya faham kita perlu sensitif tetapi kerajaan juga amat sensitif menjaga Tabung Haji kerana ini satu-satunya institusi konglomerat besar yang dimiliki 100 peratus oleh orang Islam, jadi tolong jangan menyerang tanpa bukti dan sebagainya.

“Kami tak mahu dalam keadaan (sedang) pulih ini ada ‘racun-racun’ yang ditabur yang menyebabkan proses pemulihan itu tidak berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan Seminar Pembangunan Islam di Malaysia yang dianjurkan UMNO bahagian Rantau Panjang dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan Tabung Haji bakal mengalami kerugian dan boleh menyebabkan agensi itu muflis, sehingga ramai pencarum hilang kepercayaan terhadap Tabung Haji.

Jamil Khir berkata, Tabung Haji mendapat jaminan kerajaan, justeru sebarang urusan perniagaan perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan bagi mengelak agensi itu melakukan perniagaan yang berisiko tinggi.

Beliau berkata, Tabung Haji juga perlu melalui proses audit tahunan yang ketat yang dilaksanakan Jabatan Audit Negara sebelum agensi itu boleh membuat pengumuman dividen dan bonus kepada pencarumnya.

“Kami tak boleh belanja sewenang-wenangnya kerana jaminan kerajaan tak akan diberikan kalau kita belanja dengan keadaan tak betul, maka sebab itu Jabatan Audit Negara datang untuk audit kewangan Tabung Haji dan sebagainya.

“Jadi jaminan inilah yang kita gunakan untuk bergerak dan menjalankan perniagaan, selain wang caruman juga turut digunakan untuk melabur dalam komoditi sebelum ia menjadi pulangan dalam bentuk bonus dan dividen kepada pencarum,” katanya. – Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.