BREAKING NEWS

Monday, 14 November 2016

Tak payah bohong himpunan Bersih tak ganas, kata Rizal


PETALING JAYA: Pemimpin Bersih 2.0 secara terang-terangan berbohong kepada orang ramai apabila mendakwa perhimpunan mereka tidak ganas, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Dalam satu post di Facebook, Rizal berkata perhimpunan sebelum ini yang diadakan badan pemantau pilihan raya itu dicemari pelbagai tragedi keganasan.

“Apa lagi yang mereka nak kelentong dan berbohong kepada rakyat? Semuanya sudah nyata dan jelas dalam lipatan sejarah hitam negara.

“Majoriti rakyat sudah tahu himpunan Bersih penuh provokasi, hasutan dan tindakan agresif terhadap rakyat serta kepentingan awam yang direstui sendiri pemimpin mereka,” katanya sebagai respons terhadap kenyataan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan timbalannya Shahrul Aman Mohd Saari.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian, Maria dan Shahrul menegaskan perhimpunan Bersih 5 akan datang akan menjadi himpunan aman dan ia tidak bertujuan mencetuskan keganasan.

Rizal juga menepis dakwaan pemimpin Bersih yang mereka tidak mahu “berperang” dengan mana-mana pihak tapi kononnya ingin memastikan keadilan dilaksanakan dalam negara ini.
Rizal berkata tindakan mereka turun ke jalanan membawa mesej perpecahan dan laungan hasutan bermakna mereka “berperang terhadap demokrasi”.

Beliau berkata pendedahan Wikileaks tentang penglibatan hartawan Yahudi, George Soros yang membiayai dana untuk gerakan menjatuhkan kerajaan Malaysia termasuk Bersih sendiri cukup jelas untuk membuktikan segala-galanya.

Maria sebelum ini menyatakan kumpulan itu pernah sekali menerima geran daripada OSF bernilai RM70,000 antara 2010 dan 2011.

OSF menolak dakwaan yang ia menyasarkan untuk menggulingkan kerajaan Malaysia dengan mendanai beberapa persatuan NGO tempatan.

“Saya minta semua pemimpin dan peserta Bersih cermin diri sendiri dulu sebelum mahu terus berbicara tentang tuntutan keadilan, ketelusan dan menjunjung demokrasi,” kata Rizal.

 
Copyright © 2014 PenangKini.