BREAKING NEWS

Monday, 7 November 2016

Tanah runtuh, Teluk Bahang terputus hubungan



Penduduk Teluk Bahang terkejut apabila jalan utama menghala ke arah Batu Ferringhi runtuh pada jam 4 pagi tadi.

Penyampai radio Mutiara FM, Shamimi Shazwani Samsudin berkata, dia turut terjejas kerana terperangkap seawal jam 5 pagi ketika menghala ke tempat kerja.

Menurutnya, satu-satunya jalan yang dapat digunakan hanyalah melalui Jalan Teluk Bahang menghala ke arah Balik Pulau.

"Tetapi kami dimaklumkan oleh anggota bomba jalan tersebut juga tidak boleh digunakan kerana pokok tumbang, jadi memang kami terperangkap dan putus hubungan seketika pagi tadi.
"Kami terpaksa menunggu kerja pemotongan pokok dilakukan sebelum boleh ke tempat kerja, biasanya mungkin dalam 20 ke 30 minit saya dapat sampai ke tempat kerja di Pulau Tikus, tetapi sekarang apabila jalan sudah tutup, saya terpaksa mengambil masa lebih dari satu jam," katanya.

Beliau turut memberitahu rata-rata penduduk terpaksa berpatah balik setelah mengetahui jalan berkenaan berisko untuk dilalui.

"Ini adalah kejadian kali pertama berlaku dan sudah tentu kami terkejut.
"Kami juga bimbang kerana melihat ada beberapa jalan lain yang turut kelihatan mendap dan mungkin membahayakan pengguna jalanraya," katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.22 pagi.
Jelasnya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)  Teluk Bahang dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Ujung Batu berdekatan dengan Taman Herba Penang.

"Didapati kejadian pokok tumbang dan  tanah runtuh telah menutupi keseluruhan jalan. Anggaran keluasan bagi tanah runtuh tersebut adalah 50 kaki x 50 kaki.

"Pihak polis juga telah menutup jalan bagi laluan awam dan tiada mangsa yang di laporkan.
"Operasi belum tamat dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.