BREAKING NEWS

Friday, 25 November 2016

TERDESAK Lim Guan Eng Bukan Menjawab Tapi Sibuk Nak Menyaman

Isu Pulau Jerejak yang dibangkitkan banyak pihak secara tidak langsung telah menjadi badi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.Tatkala beliau sedang berdepan dengan pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah di mahkamah , isu Pulau Jerejak nampaknya benar-benar mengganggu fokus beliau sehinggakan banyak perkara mula dipertikaikan.

Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan akan mengambil tindakan saman terhadap sebuah akhbar berbahasa inggeris kerana menyiarkan berita berkaitan isu Pulau Jerejak yang dianggap sebagai satu pembohongan berniat jahat terhadap diri beliau dan kerajaan DAP Pulau Pinang yang dibuat oleh Pengerusi BN Negeri Pulau Pinang , Datuk Teng Chang Yeow.

Dalam isu membabitkan pembangunan Pulau Jerejak ini , Datuk Teng Chang Yeow telah membangkitkan beberapa persoalan yang berkisar kepada usaha pembangunannya selain keterlibatan beberapa pihak yang kurang jelas.

Antara persoalan yang dibangkitkan oleh beliau adalah berkaitan perkembangan 49 peratus kepentingan yang dipegang oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIR).

"Adakah PDC telah menjual keseluruhan 49 peratus pegangan tersebut kepada UDA Holdings atau kepada pemaju Ideal Property? Berapakah pula harga jualannya?.

"Adakah jualan dilakukan melalui tender terbuka atau melalui bentuk rundingan lain?"

"Sehingga hari ini, seolah-olah tiada siapa yang tahu keadaan sebenar. Adakah negeri telah hilang pemilikan Pulau Jerejak itu?" soal beliau yang juga ketua Gerakan negeri.

Teng merujuk kepada pengumuman TIR berhubung usaha sama 51:49 antara UDA dan PDC.

TIR berkata, pihaknya telah memeterai perjanjian dengan Ideal Property untuk membangunkan Pulau Jerejak.

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini menafikan sebarang rancangan pembangunan di Pulau Jerejak ketika soalan itu dibangkitkan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.

Lim juga telah dipetik oleh media sebagai menafikan kerajaan tidak menjual saham PDC itu.

Berdasarkan kepada persoalan yang dilontarkan tersebut , sewajarnyalah Guan Eng selaku Ketua Menteri perlu menjelaskan serta menjawab persoalan berbangkit kerana ia bukan sahaja menimbulkan keresahan parti-parti politik tetapi juga rakyat keseluruhannya.

Sebaliknya apa yang berlaku , Ketua Menteri Pulau Pinang bukan sahaja tidak menjawab tetapi mahu menyaman pula akhbar yang menyiarkan kenyataan terbabit.

Selain daripada itu tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang ini bolehlah dianggap sebagai tindakan berbau politik yang dibuat untuk mengelak daripada menjawab persoalan demi persoalan yang dilontarkan oleh banyak pihak.

Antaranya daripada Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang , Dato' Sri Zainal Abidin Osman yang telah mengemukakan 5 persoalan untuk di jawab oleh pihak kerajaan DAP Pulau Pinang.

1.Adakah pembangunan seluas 80 ekar yang telah diluluskan akan ditambah dan disusuli lagi dengan aktiviti penambakan laut di kawasan tersebut ?

2.Status hutan simpan Pulau Jerejak yang hendak diwartakan sejak dari 2008 , bila akan dilaksanakan ?

3.Adakah Ideal Group banyak lagi terlibat dengan pembangunan hartanah yang bersangkutan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang atau agensi di bawahnya ?

4.Adakah harga jualan Equity PDC berdasarkan tanah pajakan 46 tahun atau "leasehold" 99 tahun atau "freehold" ?

5.Komponen pembangunan di Pulau Jerejak , adakah ada perancangan pembinaan rumah kos rendah , kos sederhana rendah atau rumah mampu milik ?

Semua persoalan diatas masih lagi gagal di jawab oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dan melihat kepada tindak tanduk Ketua Menterinya jelas mereka terdesak dan lebih malangnya mereka bukan berusaha untuk menjawab tetapi cuba menimbulkan persepsi kononnya terdapat unsur-unsur rasuah dan cukup sekadar menyaman bukan menjawab.

Inilah kerajaan negeri yang mengaku Cekap , Akauntibiliti dan Telus.
 
Copyright © 2014 PenangKini.