BREAKING NEWS

Monday, 14 November 2016

Tiada Keperluan Tubuh BPS Di Pulau Pinang – Zainal Abidin


BUTTERWORTH, 14 Nov – Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang hari ini mempersoalkan penubuhan Badan Pasukan Sukarela (BPS) oleh kerajaan negeri pimpinan DAP bagi menguruskan hal ehwal keselamatan komuniti di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata penubuhan badan seumpama itu tidak perlu memandangkan pasukan keselamatan sedia ada sudah mencukupi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya tidak faham apa motif ketua menteri (Lim Guan Eng) beria-ia sangat nak wujudkan pasukan keselamatan sendiri ini. Saya harap beliau tidak wujudkan pasukan askar sendiri pula,” katanya.

Terdahulu Zainal Abidin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri menghadiri sesi ramah mesra bersama penyelia, guru besar dan penyelaras sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan pegawai penyelaras masjid daerah, di sini hari ini.

Sabtu lepas, Lim melancarkan penubuhan BPS bahagian pulau dan semalam pasukan itu dilancarkan di Seberang Perai.

BPS berperanan menguruskan hal ehwal keselamatan komuniti bagi mewujudkan persekitaran kejiranan yang selamat dan bersatu padu.

Sebelum ini, kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditubuhkan pada 2009 dan diisytihar haram pada Nov 2014 kerana tidak mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Zainal Abidin turut mempersoalkan mengenai proses saringan dan tapisan dijalankan terhadap anggota BPS dalam memastikan setiap anggota bebas daripada rekod jenayah dan kumpulan gengster.
 
Copyright © 2014 PenangKini.