GEORGETOWN - Tiga daerah di Pulau Pinang berisiko banjir berikutan fenomena air pasang besar yang bermula hari ini hingga 21 November depan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang, Kolonel (PA) Pang Ah Lek berkata, ia termasuk bagi Daerah Barat Daya, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Menurutnya, dijangka paras air tertinggi akan berlaku diantara 2.8 hingga 3.1 meter.

“Pihak APM akan memulakan pemantauan bermula jam 11 malam ini di beberapa lokasi yang berisiko.
“Kami akan bekerjasama dengan pemimpin di peringkat komuniti untuk membuat pemantauan setiap empat jam sekali,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau turut menasihatkan ketua-ketua komuniti mengambil beberapa langkah awal.
Jelasnya ia termasuk menasihati penduduk supaya menyimpan dan menempatkan dokumen-dokumen penting.
“Sekiranya terjadi perkara tidak diingini, dokumen penting mudah dicapai untuk dibawa ke tempat yang selamat.
“Kami juga menggesa supaya perkara ini dimaklumkan kepada ketua isi rumah supaya mereka berpindah ke pusat pemindahan yang ditetapkan apabila diarahkan.

“Juga tidak ketinggalan ketua-ketua jabatan peringkat daerah hendaklah sentiasa bersedia untuk bertindak sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.

Sementara itu Jabatan Metereologi Malaysia dalam satu kenyataannya memaklumkan amaran ribut petir menyeluruh berlaku di perairan Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak.

Keadaan tersebut sekaligus boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter sekaligus berbahaya kepada bot-bot kecil.
Bagi aktiviti perkapalan, ribut petir berlaku di perairan Phuket, Selat Melaka, Tioman, Bunguran, Kuching dan Reef South dijangka berterusan.