BREAKING NEWS

Saturday, 31 December 2016

2016 Tahun Terburuk Kerajaan DAP Pulau Pinang



TIDAK keterlaluan untuk disimpulkan 2016 adalah tahun terburuk dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Terlalu banyak kontroversi membelenggu sepanjang tempoh 12 bulan lalu, sama ada isu berulang yang gagal diselesaikan sehingga kini atau isu baharu yang timbul akibat kelemahan kerajaan negeri.

Paling memalukan apabila buat pertama kali dalam sejarah negeri ini, ketua menterinya dituduh di mahkamah kerana dua kes rasuah.

Perbicaraan kes pembelian banglo pada harga bawah pasaran serta pertukaran status ta­nah membabitkan Lim Guan Eng berkenaan akan bermula Mac tahun depan.

Menjadi catatan sejarah juga, Guan Eng masih kekal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga kini di sebalik pertuduhan kes rasuah itu meskipun didesak banyak pihak meletak jawatan atau bercuti ekoran krisis integriti berkenaan.

Banyak isu berkaitan rakyat juga berlaku sepanjang tahun ini yang secara jelas memperlihatkan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, bencana banjir kilat paling kerap berlaku dan lebih buruk tahun ini. Malah ada kawasan yang ditenggelami banjir kilat beberapa kali dalam tempoh seminggu seperti di Jalan Perak dan kawasan sekitar Sungai Pinang meskipun ketika hujan lebat hanya beberapa jam.

Walaupun dinafikan kerajaan negeri, namun semua pihak bersetuju bencana itu yang kini turut disusuli dengan tanah runtuh disebabkan pembangunan pesat tidak terkawal termasuk di kawasan berisiko di lereng bukit.

Pembangunan mewah dan elit bukan sesuatu yang asing di kebanyakan kawasan khususnya di bahagian pulau negeri ini. Ini juga menjadi jawapan kepada kesukaran penduduk memiliki kediaman sendiri kerana kerajaan negeri hanya meluluskan pembangunan mewah yang di luar kemampuan mereka.

Sebab itu sepanjang hampir lapan tahun DAP mentadbir ne­geri ini, isu rumah mampu milik bukan sahaja gagal diselesaikan malah semakin meruncing.

Utusan

Bukan hanya penduduk yang semakin tertekan sepanjang tahun ini malah alam sekitar juga seolah-olah tidak selamat dan tidak mempunyai nilai di negeri ini.

Rancangan pembangunan di Pulau Jerejak dan puncak Bukit Bendera adalah antara ketidakpedulian kerajaan negeri kepada betapa pentingnya kawasan hutan yang ada di negeri ini. Kedua-dua kawasan itu yang menjadi ikon dan mempunyai nilai sentimental cukup tinggi kepada penduduk negeri ini bakal berubah wajah dengan perancangan pembangunan komersial.

Namun rancangan di kedua-dua kawasan itu tidak setanding dengan kemusnahan lebih besar kawasan laut menerusi rancang­an tambakan terbaharu oleh kerajaan negeri di perairan selatan negeri ini.

Projek yang dirancang di Permatang Damar Laut itu kelak bakal mewujudkan tiga buah pulau buatan untuk dijual kepada pemaju swasta bagi menampung kos projek yang lebih besar dikenali Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri.

Buat masa ini, kerajaan negeri tetap dengan keinginan meneruskan projek mega tambakan laut itu meskipun kajian awal sudah membuktikan impak buruk bukan hanya kepada hidupan laut malah ancaman kepada nasib dan masa depan golongan nelayan.

Isu-isu yang dinyatakan ini hanyalah sebahagian kecil daripada banyak lagi pertikaian yang tercetus antara Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan pelbagai pihak di negeri ini.

Tahun ini juga menyaksikan ketegangan hubungan Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan kebanyakan pertubuhan bukan ke­rajaan (NGO) kerana dasar dan polisi yang membelakangkan kepentingan NGO berkenaan.

Begitu juga dalam hubungan bersama media yang diancam dengan tindakan undang-undang termasuk pergeseran terbuka dengan akhbar-akhbar Cina.

Sedangkan kedua-dua pihak ini memainkan peranan penting dalam kemenangan pembangkang di negeri ini pada pilihan raya umum 2008 namun hari ini dilihat seperti bermusuh.

Kemarahan NGO dan akhbar Cina ini barangkali kerana dalam kebanyakan isu yang timbul, kerajaan negeri tidak pernah mahu mengakui kelemahan pentadbiran sendiri sebaliknya lebih selesa menyalahkan pihak lain.

Sebab itu menjelang tahun baharu 2017 yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, penduduk negeri ini tidak boleh mengharapkan tekanan yang dirasakan mereka selama lapan tahun DAP mentadbir negeri ini akan menuju kepada corak pemerintahan baharu.

Melainkan penduduk negeri ini berani melakukan perubahan yang sudah semestinya tidak dibuat secara semberono, sebaliknya kerana menilai rekod pres­tasi buruk DAP sepanjang lapan tahun mentadbir negeri ini.

 
Copyright © 2014 PenangKini.