BREAKING NEWS

Tuesday, 27 December 2016

Ada negara bagi kupon makanan, kami beri BR1M, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low hari ini memberi penjelasan yang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Menolak kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa BR1M ialah alat kerajaan untuk membeli undi rakyat, Paul berkata bantuan kewangan ialah sebahagian rancangan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup.
“Kerajaan membantu mereka dalam berdepan cabaran kos sara hidup yang tinggi seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta pemansuhan subsidi.
“Adakah dia (Dr Mahathir) bermaksud kerajaan tidak boleh bantu orang miskin,” katanya kepada FMT.

Dr Mahathir pada Ahad berkata BR1M yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah cubaan untuk mendapatkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, BR1M juga ialah satu bentuk rasuah dan tindakan menyalahi undang-undang.

Kenyataan Dr Mahathir itu diselar beberapa ahli politik BN termasuk Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Liang Teck Meng.
Paul yang juga bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M) berkata tidak ada salahnya dalam memberikan wang kepada rakyat.
“Negara lain turut melaksanakan langkah sama bagi kumpulan berpendapatan rendah dengan menyediakan program kupon makanan,” katanya.

Menteri yang bertanggungjawab dalam tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia itu berkata Malaysia memilih memberikan tunai kerana ia lebih efisien dan membolehkan rakyat memilih untuk membeli apa yang diperlukan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel berkata bantuan kewangan ialah amalan biasa dalam masyarakat lain.
“Ia cara yang wajar untuk memulangkan semula hak rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, katanya beliau bimbang dengan kemungkinan BR1M dipergunakan untuk mendapat undi pada pilihan raya umum.

“Kami mengutuk bagaimana ia dipolitikkan secara berterusan untuk memenangi undi,” katanya.

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.