BREAKING NEWS

Friday, 30 December 2016

Banyak Jalan Di Pulau Pinang Tak Berkualiti



GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), hari ini mendesak kerajaan negeri meneliti semula kualiti pembinaan dan penyelenggaraan jalan di negeri ini, yang didakwa kerap rosak.

Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata hasil tinjauan pihaknya mendapati banyak jalan di negeri ini rosak dan berlubang, selain permukaannya tidak rata sehingga membahayakan keselamatan pengguna.

Beliau berkata, antara jalan utama dikesan mengalami kerosakan adalah sepanjang Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Bayan Lepas, Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Batu Feringghi, Jalan Jelutong, Jalan Perak dan Lorong Hutton.

"Keadaan jalan yang baik dan selamat diperlukan selaras dengan peningkatan 120 peratus kenderaan terutama kereta persendirian di negeri ini sejak 10 tahun lalu.

"Malah, kontraktor yang dilantik harus bertanggungjawab dan melakukan kerja penyelenggaraan jalan dengan baik.

"Keadaan jalan yang sering memerlukan kerja baik pulih membuktikan kerja pembinaan jalan dilakukan kontraktor tidak begitu memuaskan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu prosedur operasi standard (SOP) perlu diwujudkan bagi tujuan pemeriksaan mingguan ke atas semua jalan yang dibina di negeri ini.


"Kerajaan negeri perlu mencontohi Singapura, yang sentiasa memastikan jalan di negara berkenaan dalam keadaan terbaik," katanya.-BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.