BREAKING NEWS

Monday, 26 December 2016

‘Bayi tsunami’ optimis jadi saintis

PULAU PINANG 25 Dis. – Segala-galanya berlaku dengan pantas buat bayi tsunami, S. Thulasi. Hari ini, selepas 12 tahun kejadian tsunami di Batu Ferringhi, dia melangkah ke fasa baharu apabila bakal melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu tahun depan.

Ketika bencana itu, Thulasi yang ketika itu berusia 22 hari, menjadi perhatian umum kerana dihanyutkan ombak tsunami ke tengah laut di Pantai Batu Ferringhi.

Bagi Thulasi, itu juga bermakna dia semakin dekat dengan hasratnya menjadi seorang saintis se­perti yang sering diberitahu setiap kali ditanya berkenaan cita-citanya.

Malah, dia juga seolah-olah berada pada landasan tepat mengejar cita-citanya itu selepas di­terima memasuki antara sekolah terbaik di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. George’s.
Kejayaan itu sudah pastinya kerana keputusan cemerlangnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru, iaitu memperoleh 5A dan 3B.

“Bagi 2017, saya berharap berjalan lancar untuk saya, keluarga dan penduduk di Batu Ferringhi. Semoga bencana tsunami tidak lagi berulang di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian ombak besar 2014 yang membadai pesisir pantai Batu Ferringhi, Thulasi sedang tidur dalam sebuah bilik di kedai bapanya.

Peristiwa itu disifatkan ke­ajaiban kerana ombak kedua yang membadai pantai berkenaan membawa semula Thulasi ke kedai bapanya dan dia berjaya di­selamatkan.

Bencana pada 26 Disember 2004 itu turut dikenang sebagai bencana alam yang mengorbankan paling banyak nyawa di negara ini apabila lebih 60 orang maut di negeri ini dan Kedah susulan gempa bumi dasar laut berukuran 8.9 pada skala Ritcher di Acheh, Indonesia.

Utusan

 
Copyright © 2014 PenangKini.