BREAKING NEWS

Tuesday, 27 December 2016

BIMBANG ALAM SEKITAR MUSNAH DI BUKIT BENDERA

Penasihat Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, cada­ngan itu termasuk pembinaan dua stesen kereta kabel baharu ke puncak Bukit Bendera.

Menurutnya, pembinaan ste­sen kereta kabel baharu yang dirancang di Taman Perbandaran Pulau Pinang dan Teluk Bahang itu dikhuatiri akan diikuti dengan projek pelancongan lain di kawasan berkenaan.

“Bagaimana jika tambahan stesen kereta kabel ini hanyalah satu permulaan kepada projek pembangunan lebih besar pada masa depan?

“Apakah jaminan kepada penduduk negeri ini puncak Bukit Bendera tidak akan bertukar menjadi taman tema seperti Disneyland?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan pembangunan di kawasan pelancongan ikonik negeri itu seperti diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini termasuk pembinaan hotel baharu, bangunan yang menempatkan gerai yang dikenali Cooline Line dan pusat informasi.

Menurutnya, meskipun tambahan kereta kabel ke puncak Bukit Bendera diakui usaha baik dalam mengurangkan kesesakan di stesen Air Itam ketika ini, namun kajian menyeluruh perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

Kajian itu, kata beliau, perlu melihat kepada kesan kemusnahan alam sekitar daripada pembinaan stesen baharu tersebut termasuk garis panduan berkenaan pembinaan yang tidak boleh melebihi paras ketinggian 85 meter dari paras laut.

“Puncak Bukit Bendera adalah kawasan sensitif kerana merupakan habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna selain sa­ngat dekat dengan hati penduduk negeri ini.

“Sebarang pembangunan yang dilihat boleh merosakkan kawasan ini secara jangka masa panjang sudah semestinya akan menerima bantahan daripada pelbagai pihak,” katanya.

(Utusan Online)
 
Copyright © 2014 PenangKini.