BREAKING NEWS

Tuesday, 27 December 2016

BR1M diterima dasar seantero dunia - Khairy Jamaluddin

"Ini tak masuk akal, tetapi orang masih percaya cakap beliau."

Kritikan terbaru bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah tidak masuk akal kerana program ekonomi tersebut diterima secara meluas, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Mahathir semalam mengulangi dakwaannya BR1M adalah rasuah dan oleh itu, haram untuk menerimanya.

"Ini mengarut. Pemindahan tunai diterima sebagai program ekonomi di seluruh dunia. Namun, masih ada orang yang percaya cakap beliau.

"Dan ada beberapa pihak daripada Gen Y sesat yang belum hidup di zamannya akan berkata: 'Apa yang kamu tahu? Kamu tidak bina menara berkembar," ujar beliau di Twitter.

Tahun depan, keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan akan menerima bantuan tunai RM1,200 manakala keluarga yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 akan menerima RM900.

Semalam, Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

 
Copyright © 2014 PenangKini.