BREAKING NEWS

Tuesday, 27 December 2016

Dakwaan Thailand Pulau Pinang Hab Transit Dadah Tidak Tepat


27 DIS : Dakwaan pihak berkuasa Thailand bahawa Pulau Pinang sebagai hab transit pengedaran dan penyeludupan dadah adalah tidak tepat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata sememangnya negeri berkenaan dari dahulu lagi adalah lokasi yang banyak terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan mahupun pengedaran dadah.
“Janganlah disebabkan dadah itu datang ke Pulau Pinang atau ada dua hingga tiga orang yang terlibat dadah bermakna negeri itu terus menjadi hab dadah.
“Polis sentiasa mengambil tindakan terhadap kumpulan sindiket ini malah kebanyakan kejayaan operasi dadah di Thailand adalah hasil kerjasama polis Malaysia di mana kami sentiasa berkongsi maklumat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman pada Selasa.
Khalid berkata antara faktor berlaku aktiviti dadah adalah perhubungan orang Pulau Pinang dengan orang di selatan Thailand dalam urus niaga ini sehingga memudahkan lagi sindiket mengambil kesempatan beroperasi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Pemangku Pemerintah Bahagian Pencegahan Narkotik Kawasan 4 Thailand (selatan) Mej Jen Dussadee Choosankij yang mengatakan Pulau Pinang sebagai hab transit pengedaran dadah.
“Kita kena faham bahawa dadah ini juga datang dari Thailand dan dibawa ke selatan Thailand sebelum diseludup masuk ke Malaysia dan kemudiannya ke negara lain.
“Tetapi dunia telah mengiktiraf bahawa Segi Tiga Emas adalah antara kawasan pengeluar dadah terbesar di dunia… dan Thailand juga adalah sebahagian daripadanya,” katanya.
Berikutan itu, Khalid berkata kerajaan sedang merangka dasar baharu bagi menghadapi ancaman dadah di negara ini, namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis sedang menyiasat secara terperinci kes seorang konstabel polis yang cedera ditikam di perut dalam pergaduhan dengan dua lelaki di sebuah restoran di Selayang, semalam.
Terdahulu pada majlis itu, Datuk Abdul Ghaffar Rajab dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang baharu bagi menggantikan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang bersara esok.


 
Copyright © 2014 PenangKini.