BREAKING NEWS

Monday, 19 December 2016

Isu Siapa Calon PM, Pembahagian Kerusi Akan Terus Buat Pembangkang Caca Merba


KUALA LUMPUR, 19 Dis – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin menjangkakan isu siapa calon Perdana Menteri dan pembahagian kerusi di kalangan pakatan parti pembangkang yang baru akan terus bermasalah, memandangkan setiap parti pembangkang mempunyai hala tuju dan ideologi politik yang berbeza serta tidak mempunyai kesatuan matlamat yang sama.
Katanya, biarpun parti pembangkang cuba memperlihatkan mereka ini seolah-olah kini bersepakat dalam menghadapi PRU ke 14, namun menurut beliau pakatan tersebut hanyalah sekadar untuk memperlihatkan imej positif parti pembangkang kepada rakyat.
“Dengan masukkanya Parti Pribumi Malaysia, saya yakin isu siapa calon Perdana Menteri akan terus menjadi punca masalah dalam pakatan parti pembangkang. Jika dulu, Dap dan PKR menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang, namun senario kali ini agak berbeza.
“Anwar sudah pasti terkeluar daripada senarai ekoran rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak dan kekal menjalani hukuman penjara. Jika PPBM mahukan Mahyuddin menjadi Perdana Menteri sepertimana yang pernah dikiaskan oleh Tun Mahathir, sudah pasti Dap dan PKR tidak akan bersetuju dengan cadangan itu.
“Dan sekiranya PKR atau Dap mencadangkan nama-nama pemimpin di kalangan mereka untuk menjadi Perdana Menteri, saya tidak rasa bahawa PPBM akan bersetuju kerana mereka merasakan pemimpin mereka seperti Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz lebih layak untuk jawatan tersebut,” tegasnya
Selain daripada itu, tambah Jasmin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jelutong, isu pembahagian kerusi juga akan turut memberikan masalah kepada pakatan parti pembangkang sepertimana yang pernah berlaku pada PRU ke 13 yang lalu.
“Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini berkata bahawa PPBM akan berunding dengan parti-parti pembangkang lain dalam isu pembahagian kerusi, namun saya yakin tidak semudah itu parti Dap atau PKR akan memberikan laluan, apatah lagi untuk memberikan kerusi yang mereka menangi kepada PPBM.
“Saya jangkakan senario sepertimana pada PRU ke 13 yang lalu akan berulang lagi di mana kita boleh lihat pertelagahan parti pembangkang berhubung isu kerusi ini telah menyebabkan mereka bertanding sesama sendiri di beberapa kawasan.
“Sudah tentulah Dap akan mahu kekalkan kerusi yang mereka menangi dan kerusi yang mereka yakin boleh menang, begitu juga dengan PKR.  Saya pasti sekiranya Dap dan PKR mahu memberikan PAN atau PPBM kerusi yang mereka tandingi sebelum ini, ianya akan mendapat bantahan di kalangan kepimpinan yang lain khususnya akar umbi,” jelasnya.
Justeru itu tambahnya lagi, rakyat perlukan sebuah gabungan parti yang kuat dan kukuh serta tidak berbalah dan berpecah belah, demi untuk menjamin sebuah pentadbiran yang efisyen untuk membangunkan negara yang boleh membawa kemakmuran kepada rakyat.
“Ketidaksatuan matlamat dan perbezaan ideologi dan perjuangan parti politik di dalam pembangkang sejak dulu hingga kini tidak pernah memperlihatkan kestabilan. Kita tidak mahu parti yang nampak seperti sepakat sebelum pilihanraya, akhirnya bertelagah dan berpecah selepas mendapat kuasa.
“Perkara ini bukan tidak pernah berlaku dalam senario politik pembangkang,  bahkan isu berhubung siapa calon PM dan isu pembahagian kerusi ini sememangnya sudah menjadi masalah azali dalam gabungan pembangkang yang masih tidak dapat diselesaikan.
“Saya minta rakyat janganlah memperjudikan nasib dengan memberikan undi kepada sebuah gabungan parti yang tidak stabil dan bila-bila masa saja boleh berpecah belah. Bagaimana kita mahu memberikan kuasa kepada satu gabungan parti yang tidak stabil untuk mentadbir negara?,”ujarnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.