BREAKING NEWS

Thursday, 29 December 2016

Kementerian Kerja Raya Mula Uji Sistem Penghadang Keselamatan Baharu, Guna Teknologi Dari Korea

Jika anda dari arah Terminal SkyPark Subang dan menuju ke Lebuhraya Persekutuan, di bahagian selekoh sebelum memasuki lebuhraya berkenaan, anda pasti akan perasan penghadang dengan silinder kuning yang bertindak sebagai penampan.

Ia bukanlah sekadar hiasan; penghadang dengan silinder yang boleh berpusing itu merupakan ciri keselamatan baharu bagi penghadang dan pembahagi laluan di jalan raya, dan sedang diuji oleh pihak Kementerian Kerja Raya.

Memetik laporan The Malay Mail, sistem berkenaan terdiri daripada tiub besi kukuh yang di antaranya diletakkan silinder plastik yang akan bertindak selaku penyerap hentakan yang akan berputar, sudah dipasang sepanjang 100 meter dikawasan berkenaan – ia mampu menyelamatkan nyawa pengguna yang terlibat dalam kemalangan.

Menurut kementerian berkenaan, ia merupakan projek pemula sebagai usaha untuk meningkatkan standard keselamatan jalan raya di negara ini. Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan, penghadang jalan baharu ini sudah dipasang sejak 7 Disember lalu.

Ia ditempatkan di situ kerana statistik menunjukkan kawasan berkenaan merupakan antara kawasan kerap kemalangan. Penghadang dengan silinder berkenaan tidak hanya berfungsi sebagai penyerap impak ketika kemalangan, tetapi ia juga menghalang kenderaan daripada terbabas ke sisi yang satu lagi, atau ke laluan bertentangan.

“Kami akan meninjau keberkesanan penggunaan penghadang keselamatan ini dalam tempoh tiga bulan dan akan menyediakan laporannya selepas itu. Setakat ini, masih belum ada kemalangan yang dilaporkan di kawasan ini sejak ia dipasang awal Disember lalu,” jelas Fadillah.

Jika pemerhatian menunjukkan penggunaan penghadang keselamatan di kawasan ini positif dan berkesan, ia mungkin akan dilanjutkan ke kawasan-kawasan berisiko tinggi terhadap kemalangan di lokasi lain. Ia merupakan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat ETI Korea.

 
Copyright © 2014 PenangKini.