BREAKING NEWS

Thursday, 22 December 2016

Kerajaan Negeri P. Pinang Hanya Pentingkan Pemaju Daripada Nasib Rakyat


BALIK PULAU, 22 Dis – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Mohd Farid Saad berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Dap sebenarnya hanya mementingkan keuntungan pemaju dan sedikit pun tidak kisah sekiranya terpaksa mengorbankan masa hadapan rakyat.
Jelasnya, ini terbukti apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri 1 Mohd Rashid Hasnon dan ADUN Batu Maung Abdul Malik Abdul Kassim meninggalkan sesi soal jawab sejurus selesai sesi pendengaran awam mengenai projek tebus guna tanah di sebuah hotel di Pulau Pinang baru-baru ini.
“Yang tinggal hanya Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow. Para nelayan mahu Ketua Menteri kerana yang boleh buat keputusan adalah Guan Eng selaku Ketua Menteri.
“Ini jelas dan terbukti bahawa kerajaan negeri sebenarnya tidak mahu ambil tahu apa pandangan, luahan dan rintihan para nelayan yang bakal menjadi mangsa. Sebab itu para nelayan tidak puas hati,”
Tambah Farid, Perunding Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) negeri, Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah dari Tetuan Dr Nik & Associate telah pun mengesahkan, berdasarkan kajian awal yang dijalankan mereka bahawa batu karang di Pulau Rimau, kawasan hidupan marin dan lokasi penangkapan ikan serta pendaratan penyu terpaksa dikorbankan dalam proses tebus guna tanah itu.
“Ini jelas membuktikan mata pencarian nelayan akan terjejas dek kerana projek ini namun sayangnya kerajaan negeri hanya mengambil langkah tutup mata dan pekakkan telinga asalkan hajat mereka tercapai.
“Kerajaan negeri ternyata hanya memikirkan wang ringgit bagi membiayai kos Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) daripada projek menebus guna tanah bagi membina tiga pulau yang keseluruhannya seluas 1821.09 hektar persegi di Permatang Damar Laut.
“Inikah yang dikatakan sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab dan membela nasib rakyat. Hanya kerana wang, rakyat menjadi korban,” bidas Farid.
Oleh itu beliau menggesa rakyat menilai kembali kredibiliti Dap sebagai pemerintah negeri tersebut seterusnya membuat keputusan bijak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.


 
Copyright © 2014 PenangKini.