BREAKING NEWS

Saturday, 24 December 2016

Kerajaan Pulau Pinang bertindak seperti mafia


GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang mendakwa tindakan diambil kerajaan negeri ke atas pengkritik mereka setanding mafia.
Teng Chang Yeow merujuk penguatkuasaan terpilih yang didakwa dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas sebuah kafe, susulan kelantangan pemilik premis itu mengkritik dasar kerajaan Pulau Pinang di surat khabar Cina, baru-baru ini.
Mengulas lanjut dakwaan “mafia” itu, Teng berjanji akan terus mengetengahkan kekejaman kerajaan Pulau Pinang mengenai cara mereka menangani pengkritik dan tidak akan tunduk kepada tekanan kerajaan negeri itu.
“Menyedihkan untuk kata kerajaan Pulau Pinang sudah menjadi sebuah kerajaan ala mafia. Anda kritik, anda dapat balasannya. Ini adalah serangan tidak adil.
“Kami berkuasa selama 40 tahun dan tidak akan duduk serta menangis…kami akan lawan balik,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, hari ini.
Semalam, Gerakan Pulau Pinang mengaitkan perobohan sebuah tandas dalam kafe Kaffa yang dibina secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan kritikan pemilik premis itu terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
http://avn.innity.com/rt/?cb=1481191739&a=2584&e=8760
DAP bagaimanapun membalas dakwaan itu dengan berkata, notis sudah dikeluarkan kepada pemilik Kafe Kaffa sejak 25 Julai tahun lalu dan permintaan merobohkan tandas berkenaan dibuat 4 hari sebelum pemilik kafe mengkritik Lim.
Dalam perkembangan berkaitan, Teng berkata, Exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebaliknya menuduh pemimpin Gerakan mengutuk PBT sengaja mengambil tindakan terhadap perniagaan milik peniaga Cina itu.
Chow yang mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan mendakwa Gerakan menjadikan perkara itu isu politik dan perkauman menerusi catatan di Facebook semalam.
Sebaliknya, beliau mempertahankan PBT sekadar menguatkuasakan undang-undang dan tidak mempunyai motif tersembunyi.
Pemilik kafe terbabit mendakwa perobohan itu dilakukan sehari selepas seorang ahli majlis perbandaran DAP memberi “amaran” menerusi Facebook.
Majlis perbandaran itu bagaimanapun berkata, ia sekadar menjalankan tanggungjawabnya ke atas struktur haram.
Susulan itu, pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo semalam membuat laporan mendesak polis menyiasat jika wujud sebarang penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, sebelum perobohan dijalankan ke atas tandas dalam kafe itu, Rabu lalu, seorang ahli majlis perbandaran DAP menerusi Facebooknya mengeluarkan “amaran” tindakan akan diambil terhadap kafe terbabit yang membina tandas secara haram.
MCA turut membuat laporan polis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung catatan dimuat naik ahli majlis perbandaran itu ke Facebooknya. -FMT


 
Copyright © 2014 PenangKini.