BREAKING NEWS

Saturday, 24 December 2016

Kesan Aktiviti Penambakan laut Pulau Pinang Dikaji

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengarahkan jabatan dan agensi berkaitan untuk mengkaji kesan aktiviti penambakan laut di Pulau Pinang.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jabatan yang terlibat dengan arahan itu adalah Jabatan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Taman Laut Malaysia.

“Ia merupakan isu yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang dan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana aktiviti penambakan laut boleh memberi kesan serius kepada alam sekitar yang merangkumi kawasan bakau, pembiakan ikan, pendaratan penyu dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan semalam.



Wan Junaidi berharap pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalulintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang Chow Kon Yeow dapat berhubung terus dengannya mengenai isu itu demi kebaikan rakyat Pulau Pinang.

“Sekalipun Penilaian Alam Sekitar (EIA) masih belum dilaksanakan namun, isu itu perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Menurut laporan media, projek tambakan laut itu meliputi kawasan seluas 809.73 hektar di Permatang Damar Laut dan pembinaan tiga pulau buatan dikhuatiri merosakkan ekosistem dan menjejaskan sumber pendapatan 1,700 nelayan di kawasan berkenaan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.