BREAKING NEWS

Friday, 23 December 2016

Laporan pesawat TUDM terhempas siap beberapa minggu



GEORGETOWN - Kementerian Pertahanan memberi jaminan akan mengumumkan hasil siasatan kes pesawat Beechcraft King Air 200T terhempas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth dalam beberapa minggu lagi.

Menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

"Kita masih memerlukan bukti-bukti yang konkrit serta mendapatkan pengesahan alat-alatan yang terlibat dalam nahas tersebut, sudah tentu ia mengambil masa.

"Namun begitu setelah siapnya siasatan ini, kita akan membuat pengumuman secara rasmi," katanya dalam sidang media pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas melawat pembantu juruterbang, Kapten Wai Lek, 24 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Sarjan Mohd Sofi Azizan, 29 di Wad Ortopedik Hospital Pulau Pinang (HPP).

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.
Ketika ditanya mengenai dakwaan pesawat mengelak dari terhempas di stor senjata, Affendi berkata, pihaknya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Ia adalah terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi, walaupun begitu kami berbangga kerana hanya dalam tempoh dua minit sahaja anggota sampai ke tempat kejadian.
"Ini boleh dianggap 'superfast'," katanya.

Pada petang rabu lalu, sebuah pesawat Beechcraft King Air 200T terhempas di Pangkalan TUDM Butterworth.
Dalam kejadian tersebut, juruterbang pesawat Mejar C Kayamboo, 44 maut sementara Wai Lek cedera parah, Mohd Sofi dan Leftenan Hamdi Ahmad Hanafi mengalami kecederaan. -SH


 
Copyright © 2014 PenangKini.