BREAKING NEWS

Thursday, 22 December 2016

Lim Guan Eng Kalah Saman


Dua media dikaitkan dengan Umno dan 3 yang lain memenangi rayuan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyaman mereka kerana melabelkan beliau sebagai “perisik Singapura”.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Rohana Yusuf berkata mahkamah terikat dengan ketetapan sebelum ini yang pegawai awam tidak boleh menyaman sesiapa sahaja termasuk media kerana fitnah.
Pada Mac, Mahkamah Rayuan diketuai panel yang sama membatalkan saman Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Berhad kerana memfailkan kes di atas kapasiti rasminya.

Mahkamah menerima prinsip undang-undang sebagaimana kes Derbyshire County lawan Times Newspapers Ltd sebagai rujukan.
Dalam keputusan kes itu pada1993, mahkamah memutuskan pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang berdasarkan kritikan.
Bulan lalu, perayu semasa pendengaran rayuan itu mengemukakan bantahan awal dengan menggunakan kes Adnan terhadap Lim.
“Mempertimbangkan kes berkenaan, kami membenarkan rayuan itu,” kata Rohana, yang bersidang bersama hakim Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Mary Lim.
Beliau berkata, jika bukan kerana kes Adnan, mahkamah akan menolak rayuan itu dan mengurangkan pampasan terhdap Lim sebanyak RM150,000.
“Ganti rugi sebanyak RM550,000 terlalu tinggi kerana Mahkamah Tinggi memasukkan sejumlah wang untuk ganti rugi teruk yang tidak dirayu Lim,” katanya.


Pada Mac tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin mendapati penerbit New Straits Times Press (NSTP), Utusan Melayu, Perkasa, presidennya Datuk Ibrahim Ali dan Ketua Cawangan Negeri Sembilan Ruslan Kassim bertanggungjawab kerana memfitnah.
Beliau mengarahkan Perkasa membayar RM150,000 manakala NSTP dan Utusan membayar RM200,000 ganti rugi bagi setiap satu.
Hakim itu berkata jumlah itu adalah bagi ganti rugi teruk dan teladan kerana menyiarkan komen pemimpin Perkasa, yang menuduh Lim sebagai perisik bagi Singapura.
Ketiga-tiganya diarahkan membayar kos sebanyak RM20,000 setiap seorang.
Ruslan mendakwa Lim membocorkan rahsia Malaysia semasa lawatan beliau ke Singapura dengan InvestPenang pada 2011.
Pada Mei 2012, Lim memfailkan saman fitnah terhadap Ruslan, Ibrahim, Perkasa, NSTP, yang ketika itu diterajui Pengarang Kumpulan Datuk Syed Nadzri Syed Harun, dan Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak.
Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata Ruslan menerbitkan satu kenyataan di laman web Perkasa pada 1 Oktober 2011 meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya menjelaskan pertemuan beliau dengan seorang lagi pemimpin korporat, Datuk Seri Kalimullah Hassan serta pemimpin kanan PAP di Singapura pada 12 Ogos 2011.
Lim yang juga setiausaha agung DAP, berkata kenyataan itu membawa maksud beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.
The New Straits Times dan Berita Harian di bawah NSTP, dan Utusan Malaysia (di bawah Utusan Melayu) menerbitkan komen Roslan.
Peguam Americk Sidhu mewakili Lim, Rueben Mathiavaranam bagi 2 media, P G Cyril dan Fahmi Abdullah bagi Roslan manakala Adnan Seman mewakili Ibrahim dan Perkasa.

 
Copyright © 2014 PenangKini.