BREAKING NEWS

Saturday, 24 December 2016

Mahathir korbankan prinsip dipegang teguh 22 tahun - MB Perlis


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengorbankan prinsip-prinsip yang dipegang teguh selama lebih 22 tahun apabila memilih untuk bersama-sama dengan pembangkang.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata tindakan itu memperlihatkan sisi bekas pemimpin negara itu yang hanya berjuang untuk sesuatu kepentingan dalam berpolitik.

"Apa yang jelas terlihat ialah beliau (Dr Mahathir) telah mengenepikan pegangannya yang terdahulu. Sedangkan pembangkang itulah yang mengkritik hebat setiap dasar-dasar yang beliau laksanakan semasa memimpin negara.

Tetapi sekarang Dr Mahathir mampu duduk semeja di dalam majlis-majlis anjuran DAP yang terkenal sebagai musuh beliau sebelum ini semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Barisan Nasional, yang telah dipilih oleh rakyat secara demokrasi," katanya.

Azlan berkata demikian dalam satu sidang media selepas pelantikan ahli-ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di pejabatnya di sini pada Rabu serta mengulas kemunculan mengejut Dr Mahathir di Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen (IDCC) Ideal pada 4 Disember lepas .
Semasa hadir pada IDCC, Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dilihat duduk di pentas bersama barisan kepimpinan DAP, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, dan presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu. -- Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.