BREAKING NEWS

Monday, 5 December 2016

Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Qazaf Anwar Ibrahim



Usaha bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan tuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan ditolak Mahkamah Rayuan Syariah, pagi tadi.

Panel tiga hakim syarie, sebulat suara membuat keputusan itu selepas Datuk Seri Anwar gagal mengemukakan bukti supaya pendakwaan dimulakan terhadap Mohd Saiful.

Panel hakim dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh, Datuk Yusof Musa dan Mohd Amran Mat Zin.

Menurut panel hakim itu, Ketua Pendakwa Syarie mempunyai kuasa eksklusif untuk memulakan atau tidak prosiding pendakwaan.

Mahkamah juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 April 2010 yang mengetepikan permohonan Datuk Seri Anwar untuk pihak pendakwa syarie memulakan prosiding pertuduhan qazaf.

Responden terdiri daripada Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
 
Copyright © 2014 PenangKini.