BREAKING NEWS

Wednesday, 21 December 2016

Mana Bukti Dap Pejuang Nasib Rakyat Jika Lebih Pentingkan Tambak Laut Daripada Nasib Nelayan?


BUKIT BENDERA, 21 Dis – “Mana bukti kononnya Dap lagi baik daripada Barisan Nasional (BN) dan akan memperjuangkan nasib rakyat…? Jika benar Dap membela nasib rakyat, mengapa keluhan rakyat khususnya nelayan yang bakal hilang punca pendapatan tidak dipedulikan,” ujar Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim.
Jelasnya, tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Dap yang hanya memekakkan telinga berkaitan isu tambak laut jelas menjadi bukti sebenarnya parti itu selama ini hanya bermain sandiwara apabila mengatakan mereka sentiasa mendengar masalah rakyat.
“Bukannya Dap tidak tahu projek tambak laut ini akan menyebabkan ramai nelayan hilang mata pencarian. Sudahlah kos sara hidup semakin meningkat, kini Dap tambah lagi beban hidup mereka.
“Jika hendak buat pembangunan pun janganlah sampai ‘membunuh’ orang lain,”
Tambah Rafizal, sejak dahulu lagi para nelayan sudah membantah projek tambak laut ini namun sedikitpun tidak diendahkan oleh kerajaan negeri.
“Bila kita kata kerajaan negeri kuku besi dan hanya memakai topeng berperikemanusiaan, mereka tidak terima tetapi inilah buktinya.
“Oleh itu Pemuda Pulau Pinang mendesak agar kerajaan negeri jangan hanya mementingkan pembangunan sehingga menyebabkan rakyat hidup makin terhimpit.
“Jika benar terlalu terdesak mahu melakukan pembangunan di kawasan tersebut, fikirkanlah langkah-langkah terbaik untuk membantu nasib nelayan yang bakal terjejas ini,” katanya lagi.
Kerajaan negeri kini sedang rancak menjalankan projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan dan projek ini akan dijual bagi menampung kos pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP).
Kos projek ini juga kini menjadi tanda tanya apabila berlaku peningkatan sebanyak RM19 bilion daripada kos asal RM27 bilion meningkat kepada RM46 bilion dan ia masih tidak dijawab oleh kerajaan negeri.


 
Copyright © 2014 PenangKini.