BREAKING NEWS

Thursday, 22 December 2016

Pagi Hantar Notis, Petang Roboh Premis

KENYATAAN MEDIA
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

22 Disember 2016

PAGI HANTAR NOTIS, PETANG ROBOH PREMIS

Mengikuti perkembangan semasa dalam negara beberapa hari kebelakangan ini memperlihatkan betapa nasib rakyat seolah-olah tidak diambil endah oleh kepimpinan negeri Selangor.

Hari ini, resort milik Dato' Sri Jamal Yunos menjadi mangsa dendam kesumat kerajaan negeri setelah beliau membangkitkan hak dan untung nasib warga Lembah Klang yang seringkali mengalami masalah air seakan-akan tidak berkesudahan.

Tindakan merobohkan premis milik beliau oleh Majlis Daerah Sabak Bernam dilihat umpama dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan. Bukankah sepatutnya pemilik premis diberikan notis beberapa hari sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Jika ianya melanggar undang-undang yang ditetapkan, penyelesaian secara berhemah perlu dilakukan dan bukannya dibuat mengikut telunjuk pihak tertentu. Apa yang terjadi hari ini sememangnya memelikkan kerana notis dihantar pagi, sebelah petangnya premis dirobohkan.

Alangkah indahnya jika premis judi dan rumah pelacuran haram yang bertaburan di sekitar Selangor dapat diambil tindakan pantas dan drastik sebegini. Tapi sayangnya premis haram tidak berlesen seperti di pekan Sekinchan dibiarkan saja oleh pihak berkuasa tempatan.

Melihatkan perihal penguatkuasaan tanpa 'perasaan' ini, ia akan menjadi kekhuatiran kepada banyak pihak. Kemungkinan rakyat akan menjadi semakin takut untuk bersuara membangkitkan hak dan permasalahan mereka secara umum. Rakyat semakin risau akan kezaliman kerajaan PKR Selangor menggunakan kuasa untuk menindas mereka yang bergelar rakyat di bawah.

Seharusnya kepimpinan negeri bersikap lebih terbuka dan bukan berdendam serta mencari salah rakyat. Kerajaan sebegini seharusnya dikeji.

MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
 
Copyright © 2014 PenangKini.