BREAKING NEWS

Saturday, 24 December 2016

Pemilik dakwa 3 kafe diserbu selepas kritik Guan Eng




Seorang pemilik kafe di Pulau Pinang mendakwa pihak berkuasa menyerbu bukan sebuah, tetapi 3 kafe miliknya selepas beliau dikatakan mengkritik Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Patrick Ooi yang memiliki 3 Kafe Kaffa memberitahu Nanyang Siang Pau, 3 premis itu diserbu pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas beliau mengkritik Lim menyekat kebebasan media.
Katanya, beliau menjadi sasaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

“Tiga hari selepas kenyataan saya disiarkan, kedua-dua majlis perbandaran mengeluarkan 4 saman kepada saya atas pelbagai kesalahan,” katanya.
FMT melaporkan PBT merobohkan sebuah tandas dalam Kafe Kaffa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kerana “pembinaan haram” Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ooi berkata, PBT turut menyerbu sebuah lagi cawangan kafe itu di Pulau Pinang, pagi semalam dan mengeluarkan 2 saman kepadanya atas dakwaan memiliki tumbuh-tumbuhan menarik serangga perosak dan gagal mempamerkan lesen perniagaan.
“Bukan itu sahaja, pegawai juga pergi ke sebuah lagi cawangan Kaffa di Prai AutoCity untuk melakukan pemeriksaan ‘menyeluruh’ dari pagi sampai malam.
“Mereka memeriksa kebersihan premis, lesen dan kemudian menyoal jika pekerja diberikan vaksin,” katanya.

Ooi berkata, penguat kuasa juga mahu melihat pelan lukisan arkitek kedainya, tetapi dokumen itu sudah diserahkan kepada pengurusan bangunan.
“Saya akan serah apa sahaja yang pegawai MPSP mahu, selepas saya dapatkan daripada pihak pengurusan bangunan,” katanya sambil menambah beliau akan menyaman kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung saman dikeluarkan PBT.

“Saya perlu mendapat nasihat daripada peguam saya berhubung kemungkinan tindakan undang-undang (diambil terhadap mereka),” katanya.

FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.