BREAKING NEWS

Sunday, 25 December 2016

Kerajaan DAP Pulau Pinang Tidak Boleh terima Kritikan


PETALING JAYA: Penganalisis politik menggesa kerajaan supaya bersikap terbuka kepada kritikan pembangkang bagi tujuan semak dan imbang.
Mereka mengulas dakwaan Pengerusi Gerakan Teng Chang Yeow yang mendakwa warga Pulau Pinang tidak boleh mengkritik kepimpinan negeri atau mereka akan mendapati diri mereka dikenakan tindakan.
“Negara ini demokrasi. Kita perlu buka ruang awam supaya rakyat boleh mengkritik apa yang mereka fikirkan tidak betul,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Jeniri Amir.
Beliau berkata membuka ruang awam akan menukar wacana politik menjadi “gedung idea”.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran kritikan harus dibuat dengan niat yang baik dan bukan untuk niat jahat.

“Pengkritik perlu bertanggungjawab dan bukan mengkritik semata untuk mengkritik kerana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka di bawah Akta Fitnah 1957.”
Katanya ketiadaan keterbukaan itu boleh dikesan di pihak kerajaan dan pembangkang.
“Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala pembangkang pula, nampaknya di Pulau Pinang tak terbuka kepada kritikan sangat sedangkan mereka mengkritik BN kiri dan kanan.
“Reputasi Lim Guan Eng dan DAP sudah tentu akan kelihatan buruk.”
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata pembangkang nampaknya menunjukkan tanda-tanda mabuk kuasa yang membimbangkan.
“Dalam politik Malaysia, pembangkang mengkritik BN tentang perkara yang BN tidak mahu dengar. Bagaimanapun, beberapa episod menunjukkan kerajaan negeri yang diperintah parti pembangkang menunjukkan tanda-tanda mengalami sindrom yang sama,” katanya.
Beliau bersetuju dengan Jeniri tentang kritikan sebagai kaedah penting untuk menyemak dan mengimbangi penguasa.
“Pembangkang dan BN perlu lebih terbuka kepada kritikan yang membina.”-FMT


 
Copyright © 2014 PenangKini.