BREAKING NEWS

Saturday, 31 December 2016

Polis tahan 3 lelaki pasang papan iklan hasut rakyat BEBAS ANWAR


BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 3 lelaki bagi membantu siasatan berhubung pemasangan papan iklan dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata 3 lelaki berusia 50-an itu ditahan ketika memasang papan iklan berkenaan di Jalan Baru, Perai di sini, kira-kira 3.00 petang tadi.

“Pihak polis membuka siasatan mengikut Akta Hasutan selepas menerima laporan polis daripada orang awam berhubung pemasangan papan iklan berkenaan yang didakwa cuba menghasut rakyat.
“Semasa siasatan dijalankan, polis mengesan 3 lelaki sedang memasang papan iklan itu di kawasan Jalan Baru dan kami menahan mereka bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Katanya 3 lelaki itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihaknya merekodkan keterangan mereka.

Nik Ros Azhan berkata selain di Jalan Baru, 3 papan iklan itu dipasang di Alma, Bukit Teh dan Permatang Tinggi sejak 2 hari lepas juga diturunkan oleh polis.
Beliau berkata polis turut menasihatkan penganjur agar tidak terus memasang papan iklan itu supaya tidak menimbulkan kekecohan.

Hari ini, Umno Bahagian Bukit Mertajam menggesa agar 3 papan iklan yang dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan segera.

Setiausahanya Mohd Fauzi Sharif dilaporkan berkata 1 laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang memasang papan iklan itu.

 
Copyright © 2014 PenangKini.