BREAKING NEWS

Tuesday, 27 December 2016

RAS semakin dapat perhatian di Pulau Pinang


Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang disediakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di cawangan Seberang Jaya, Pulau Pinang semakin mendapat perhatian dan secara purata telah menarik lebih seratus ahli sebulan untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan sejak diperkenalkan pada 2015.

Pegawai RAS di cawangan tersebut, Wan Nur Hafizah Chik Wan Ismail, berkata rata-rata ahli yang menggunakan perkhidmatan berkenaan bertujuan untuk mendapatkan maklumat lengkap dan penerangan berkaitan pengeluaran pada umur 55 tahun dan produk KWSP yang lain.

"Ada juga ahli yang datang untuk mendapatkan nasihat berkaitan pengeluaran prapersaraan KWSP seperti Pengeluaran Perumahan dan Pengeluaran Skim Pelaburan Ahli KWSP," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata terdapat juga ahli KWSP yang mengharapkan pegawai RAS dapat membantu mereka untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan kewangan  selain khidmat nasihat pelaburan selain daripada produk KWSP.

Katanya ahli yang datang untuk mendapatkan khidmat RAS terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, profesion dan kehendak sekaligus memberikan cabaran kepada pegawai RAS untuk memberikan khidmat nasihat yang terbaik seperti yang diharapkan oleh ahli.

Bagaimanapun, katanya, pegawai RAS akan menggunakan pelbagai teknik untuk berurusan dengan ahli sekali gus mencapai objektif RAS untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan ahli tentang kepentingan merancang untuk persaraan.

"RAS memberikan pandangan dan nasihat dalam membantu ahli membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP.

"Selain itu, RAS memberikan bimbingan untuk mengurus simpanan persaraan supaya ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama dan berupaya membiayai kos sara hidup semasa alam persaraan," katanya.

Wan Nur Hafizah Chik berkata RAS adalah perkhidmatan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang KWSP untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan membantu ahli mencapai persaraan yang mapan.

"RAS berguna khususnya untuk ahli yang menghampiri umur persaraan atau yang sudah bersara tetapi masih mempunyai simpanan di KWSP," katanya.

Sementara itu, katanya antara cabaran ahli di Pulau Pinang dalam menguruskan perancangan kewangan dan persaraan adalah pendapatan rendah dan kos sara hidup yang tinggi selain kadar inflasi yang tinggi bagi kos perubatan dan pendidikan.

Selain itu, Wan Nur Hafizah Chik berkata kadar celik kewangan dalam kalangan ahli KWSP di kawasan utara Malaysia termasuk di Pulau Pinang agak rendah dan kurang kesedaran perancangan persaraan.

Tambahnya, ahli KWSP di negeri berkenaan turut menghadapi cabaran ketidaktentuan status pekerjaan berikutan kelembapan ekonomi dunia yang menyaksikan banyak kilang ditutup selain jangka hayat yang semakin panjang.- Bernama

 
Copyright © 2014 PenangKini.