BREAKING NEWS

Friday, 23 December 2016

Retorik Azmin Ali , Benar Telahan UMNO P.Pinang




Semua pihak kini sedia maklum bahawa pembangkang sudah pun mewujudkan blok mereka sendiri tanpa keterlibatan PAS dalam Pakatan Harapan.Kehadiran blok baru itu sebenarnya tidaklah membawa sebarang perubahan besar melainkan penyingkiran PAS serta penjenamaan semula kem pembangkang kononnya mereka kini sudah benar-benar sehaluan dan sedang bersiap sedia untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU14 nanti.

Kehadiran PPBM bersama-sama Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin dianggap sesetengah pihak yang pro kepada pembangkang sebagai pemangkin atau menyumbang kepada penerimaan lebih ramai sokongan orang Melayu dan rakyat Malaysia terhadap pembangkang.

Dalam erti kata lain himpunan pimpinan yang bernama besar ini sudah dianggap sebagai penyebab kepada penolakan besar-besaran rakyat Malaysia terhadap UMNO dan kerajaan Barisan Nasional.

Soalnya apakah Pakatan Harapan benar-benar berada dalam "mood" sedemikian ?

Jika melihat kepada isu terkini melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan itu sendiri , rasanya terlalu jauh perjalanan yang perlu mereka lalui memandangkan semangat setiakawan hanya wujud di muncung bibir bukannya berdasarkan prinsip dan pendirian setiap parti yang mengaku bersama itu.

Belum apa-apa rakyat sudah dihidangkan dengan perebutan kerusi sesama parti dalam Pakatan Harapan sehingga sampai ke tahap Presiden PPBM diingatkan supaya jangan terlalu gelojoh dalam menagih kerusi dari parti-parti lain yang lebih lama berada dalam kem pembangkang.

Selain daripada itu PAN sebagai parti yang lebih senior daripada PPBM dalam Pakatan Harapan sudah tentunya turut sama mahukan peluang kerusi-kerusi tertentu memandangkan inilah talian hayat terakhir mereka.

Kepincangan itu sebenarnya sudah pun memuncak dan kerana itulah Azmin Ali , Timbalan Presiden PKR tampil untuk cuba menjadi "check & balance" agar situasi yang semakin kritikal itu tidak terlalu terdedah.

Azmin dalam kenyataan yang disiarkan bernama berkata pengagihan kerusi dalam kalangan parti Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan dibuat dengan memberi keutamaan terhadap faktor kemenangan calon ataupun parti.

Beliau berkata perkara itu adalah selaras dengan perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara pakatan itu dan PPBM pada 13 Dis lepas bagi menjalin kerjasama politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Mana-mana parti yang mempunyai keupayaan untuk menang di sesuatu kawasan, kita akan berunding siapa patut diletakkan bagi mewakili kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pengangkutan awam sekali seminggu di Bangunan Setiausaha Kerajaan negeri di sini pada Isnin.

Pada 13 Dis lepas, satu gabungan dibentuk antara PPBM dan tiga parti di bawah Pakatan Harapan iaitu Parti Amanah Negara, DAP dan PKR.

Menerusi gabungan itu, keempat-empat parti bersetuju memastikan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional pada PRU14 bagi membentuk kerajaan.

Ditanya mengenai kesediaan PKR menyerahkan kerusi yang ditandingi kepada PPBM, Mohamed Azmin berkata pihaknya sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Ketika PKR dibentuk pada 1999, kita tiada sebarang kerusi dan hanya diberikan kerusi oleh DAP dan PAS. Justeru, kini giliran kita pula untuk mempertimbangkan isu itu dan bersikap terbuka," katanya.

Persoalannya sejauh mana kenyataan ini mampu direalisasikan ?

UMNO Pulau Pinang sebelum ini menyifatkan perjanjian kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan pakatan harapan sebagai sukar menjadi kenyataan, kata Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata perjanjian kerjasama antara parti itu jauh daripada realiti sebenar apabila mereka masing-masing mempunyai matlamat dan asas perjuangan parti yang berbeza.

"PPBM nak bekerjasama dengan PAS tetapi PAS tak mahu bekerjasama dengan DAP. DAP pula boleh kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), tetapi Amanah tak mahu kerjasama dengan PAS. PKR juga boleh bekerjasama dengan PPBM.

"Ini jelas menunjukkan persamaan berbeza. Kalau kita tengok ia terlalu sulit dan mengelirukan bagaimana parti ini boleh bekerjasama antara satu sama lain kerana asas mereka berbeza," katanya.

Selasa lepas, PPBM mengumumkan masih belum menyertai pakatan pembangkang dan hanya menandatangani perjanjian kerjasama dengan pakatan harapan.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kedua-dua parti bersetuju meletakkan satu calon bagi mewakili pakatan harapan-PPBM di semua peringkat dalam pilihan raya umum.

Zainal Abidin berkata pakatan harapan-PPBM akan menghadapi kesulitan meletak satu calon di semua peringkat dalam pilihan raya umum akan datang kerana mengambil contoh pilihan raya umum ke-13 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak apabila pakatan pembangkang masih bertanding dengan logo dan manifesto masing-masing.

"Pilihan Raya Negeri Sarawak DAP dan PKR bersetuju satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) di tujuh kawasan. Mereka lawan satu sama lain yang akhirnya semua kalah dan beri kemenangan besar kepada BN," katanya.

Jelas sekali apa yang diungkapkan oleh Azmin itu jauh meleset daripada tindakannya sendiri sewaktu berdepan dengan PRN Sarawak tempoh hari.

Azmin barangkali boleh sahaja membuat kenyataan tetapi tindakan retorik semata-mata tidak akan mampu menyumbang apa-apa bahkan situasi yang sedang berlaku dalam pakatan harapan setelah PPBM bersama sudah pun menjadi kudis kepada parti-parti lain khususnya DAP sendiri.

Azmin mungkin terlupa agaknya , kehadiran Tun Mahathir telah menyebabkan kedudukan DAP tergugat kerana ahli-ahli mereka sendiri pun awal-awal lagi sudah menolak dan mempertikaikan hubungan yang sedang dibina itu.

Selain daripada itu retorik Azmin hanya akan terjawab apabila tiba masanya dan banyak pihak kini mahu melihat sejauh mana DAP di Pulau Pinang boleh bersikap terbuka dengan memberikan kerusi milik mereka kepada rakan seperjuangan seperti mana yang diwar-warkan oleh Timbalan Presiden PKR ini ?
 
Copyright © 2014 PenangKini.