BREAKING NEWS

Thursday, 29 December 2016

SAM gesa projek tambak tanah seluruh negara dihentikan

 Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa semua kerja penambakan tanah di seluruh negara dihentikan termasuk Pulau Pinang, sementara menunggu kaedah kajian persekitaran baru digubal kerajaan.

Presiden SAM S M Mohamed Idris menyokong cadangan kerajaan merangka Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan kaedah terperinci Environment Impact Assessment (DEIA) lebih baik.
SAM sejak berdekad lamanya menegaskan kelemahan yang wujud dalam kaedah dan proses EIA serta DEIA sedia ada.

“Memandangkan keadaan ini, bukan sahaja Pulau Pinang perlu menghentikan projek penambakan yang sedang berjalan dan dicadangkan, malah semua projek penambakan lain di seluruh negara juga perlu dihentikan,” katanya ketika dihubungi.

Idris berkata demikian sebagai mengulas gesaan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada kerajaan Pulau Pinang bagi menghentikan semua kerja penambakan.
Wan Junaidi berkata demikian bagi membenarkan EIA dan DEIA baru dan lebih baik dibuat, kerana yang digunakan sekaranya hanya menumpukan kepada faktor persekitaran
Pulau Pinang bercadang menambak semula lebih 3,000 ekar dalam bentuk 3 pulau untuk membiayai pelan induk pengangkutan bernilai RM46 bilion.

Pada masa ini, satu-satunya projek penambakan yang dijalankan adalah di perairan Persiaran Gurney, sebagai sebahagian daripada projek Gurney Wharf.

Sementara itu, Idris berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar patut mempertimbangkan untuk memasukkan kajian “Sosial Penilaian Kesan” (SIA) bagi mengambil kira impak sosial projek penambakan.

Beliau berkata nelayan adalah golongan paling terjejas oleh penambakan kerana tangkapan mereka digugurkan apabila penambakan dijalankan.
“Penambahbaikan bukan sahaja perlu dibuat untuk DEIA dan EIA, perlu juga SIA menyeluruh bagi mengambil kira kesan projek ini kepada rakyat,” kata Idris.

Beliau berkata kementerian juga perlu mengeluarkan perintah henti kerja bagi projek penambakan yang menyebabkan risiko pencemaran atau memusnahkan alam sekitar.
“Perintah henti kerja dan langkah pengurangan sesuai perlu diambil untuk mencegah pencemaran dan kemusnahan alam sekitar akibat projek penambakan,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.