BREAKING NEWS

Thursday, 29 December 2016

Selepas bantahan, kerajaan DAP P. Pinang tangguh tambak


29 DIS : Susulan bantahan keras daripada banyak pihak, kerajaan DAP Pulau Pinang akhirnya terpaksa menangguhkan semua cadangan tambakan laut baharu atas alasan menunggu semua laporan menyeluruh Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Perkara itu diumumkan EXCO Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow yang mengatakan mereka menerima nasihat daripada Kerajaan Persekutuan, yang mahu laporan DEIA dan EIA diserahkan terlebih dahulu.
Kon Yeow berkata pihaknya terpaksa akur dengan arahan berkenaan, yang turut meminta semua projek tambakan baharu ditangguh, selain berjanji tidak akan melaksanakan apa-apa projek yang bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
“Setiap prosedur bagi kerja tambakan laut ini dibuat berdasarkan garis panduan ditetapkan mengikut undang-undang. Kita akan menyiapkan segera laporan EIA bagi diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kami beri jaminan tidak akan memulakan sebarang projek, sama ada tebus guna tanah atau Transit Aliran Ringan (LRT) hingga menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media, Khamis.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta kerajaan Pulau Pinang menghentikan semua projek tambakan laut bagi membolehkan jawatankuasa khas menyiapkan laporan DEIA dan EIA terlebih dahulu.
Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang didakwa merancang melaksanakan projek tambakan laut besar-besaran bagi membentuk tiga pulau buatan di Pulau Pinang dengan keluasan lebih 2,600 hektar akan memberi risiko kepada negeri itu, selain turut menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat dalam jangka panjang.
Para nelayan di negeri itu juga menyatakan bantahan terhadap rancangan kerajaan DAP itu yang didakwa akan menjejaskan punca pendapatan mereka.


 
Copyright © 2014 PenangKini.