BREAKING NEWS

Monday, 19 December 2016

Tambak Laut : UMNO P.Pinang Rujuk Kerajaan Pusat


Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang mengambil serius tentang isu penambakan laut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang di bahagian selatan pulau itu yang dilihat mampu memberikan ancaman dalam pelbagai bentuk.

Isu penambakan laut yang meresahkan sebahagian besar warga Pulau Pinang itu bukan sahaja bakal memberikan kesan terhadap alam sekitar tetapi juga mampu mendatangkan malapetaka sekiranya ia dilakukan tanpa mengambil kira pandangan pakar.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang , Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihaknya akan berurusan dengan Kerajaan Pusat untuk meminta supaya kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) bagi projek itu dipertimbangkan dengan sewajarnya sebelum ia diluluskan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperhalusi dengan mendalam kerana pelaksanaan projek berkenaan akan menjejaskan hidupan marin serta mata pencarian nelayan.

“Kita bersimpati dengan nasib nelayan di kawasan berkenaan. Justeru, kita akan berurusan dengan Kerajaan Pusat bagi meminta kelulusan DEIA dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Walaupun nelayan yang terjejas boleh mencari sumber pencarian lain, namun hasilnya tidak akan sama seperti apa yang mereka peroleh hari ini jika projek tambakan laut itu diteruskan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat bersama barisan kepemimpinan UMNO Pulau Pinang pada Ahad.

Semalam, Ketua Perunding DEIA projek terbabit, Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, ketika berucap pada sesi pendengaran awam projek itu yang dihadiri kira-kira 1,000 nelayan, mendedahkan kerja tambakan laut berkenaan bakal memusnahkan sepenuhnya lokasi pendaratan penyu dan habitat hidupan laut yang selama ini menjadi sumber rezeki nelayan tempatan.

Malah, ia didakwa turut menjejaskan beberapa kawasan terumbu karang dan sungai di bahagian selatan Pulau Pinang, kesan daripada parameter hidraulik ketika pelaksanaan pembinaan tiga pulau buatan yang dirancang dalam projek terbabit.

Dalam masa yang sama tindakan merujuk kepada kerajaan pusat ini penting memandangkan projek seumpama ini harus diteliti dengan sebaik-baiknya.Satu kesilapan sahaja bakal mengundang kepupusan habitat bahkan secara tidak langsung menjejaskan ekonomi para nelayan yang bergantung harap kepada hasil tangkapan di sekitar kawasan terlibat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.