BREAKING NEWS

Wednesday, 21 December 2016

Ugut saman cuba tutup kelemahan kerajaan P. Pinang


21 DIS : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow tindakan ugutan saman terhadapnya oleh kerajaan negeri pimpinan DAP berhubung isu Pulau Jerejak yang beliau bangkitkan adalah bertujuan menghentikan mana-mana pihak lain yang cuba mempersoalkan kepimpinan mereka.
Tindakan beliau yang membangkitkan isu tersebut demi kepentingan rakyat dilihat telah dihalang oleh kepimpinan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng yang terdesak untuk menghentikan lebih banyak pendedahan berhubung isu Pulau Jerejak.
Bagaimanapun perkara itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan hasrat tersebut meskipun bakal berdepan dengan tindakan undang-undang daripada kerajaan negeri.
“Hari ini saya yang diugut saman. Esok adalah masa untuk kamu semua (pengamal media) dan disusuli dengan rakyat Pulau Pinang yang mempersoal kepimpinan kerajaan negeri pimpinan DAP.
“Saya akan terus dedahkan maklumat mengenai kepincangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam isu Pulau Jerejak dan urusan lain dalam tempoh terdekat ini,” kata Chang Yeow.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Georgetown, Pulau Pinang pada Rabu.
Beliau juga turut meminta pihak lain untuk terus mempersoal kepincangan kepimpinan kerajaan negeri.
“Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menyuarakan pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat dan tidak perlu tergugat dengan tindakan undang-undang yang dihadapi saya,” katanya.
Terdahulu, Chang Yeow yang juga Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, membuat gimik apabila melakukan sidang media ‘senyap’ sebagai simbolik membantah tindakan kerajaan negeri yang cuba menutup setiap kepincangan pentadbiran mereka.
November lalu, Chang Yeow berkata kerajaan Pulau Pinang didakwa telah menjalankan transaksi sekutu bersama beberapa pemaju yang dilabel ‘pro-Ketua Menteri’ dalam projek pembangunan semula Pulau Jerejak.
Ia berikutan beberapa kenyataan tidak masuk akal dikeluarkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP yang antara lain disifatkan sebagai ‘temberang terbaik 2016’.
Katanya, dakwaan Guan Eng mengenai Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tidak mempunyai kawalan majoriti adalah dangkal, sekali gus menjelaskan Setiausaha Agung DAP itu tidak faham bidang kuasa kerajaan negeri.


 
Copyright © 2014 PenangKini.