BREAKING NEWS

Tuesday, 27 December 2016

Umno Permatang Pauh ringankan beban ibu bapa

Seramai 800 pelajar yang terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Permatang Pauh menerima bantuan beg sekolah dan wang tunai RM100 sempena Program Back To School anjuran Umno Bahagian Permatang Pauh.

Program tahunan yang diadakan itu bagi meringankan beban ibu bapa yang akan mendaftarkan anak-anak mereka pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, tiada lagi alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah berikutan banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan dan pihaknya bagi memastikan anak-anak di kawasan Permatang Pauh mendapatkan pendidikan sebaiknya.

Menurutnya, semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah di Permatang Pauh diberikan bantuan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 dan wang berkenaan boleh digunakan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan membayar yuran dan  keperluan lain.

Malah pihaknya juga telah memperuntukkan RM10,000 kepada 27 kariah masjid di Parlimen berkenaan yang juga boleh digunakan untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan.

“Jadi, tiada alasan lagi anak-anak di Permatang Pauh tidak dihantar ke sekolah disebabkan tidak mampu membayar yuran dan sebagainya.Kita mahukan semua anak-anak di Parlimen ini diberi pendidikan yang sempurna,”katanya kepada media ketika ditemui dalam Program Back To School di Politeknik Seberang Perai di sini semalam.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk melaksanakan program berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Shaari Osman.

Dalam majlis berkenaan, seramai 94 murid cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Renda (UPSR) dari Permatang  Pauh turut diraikan dan kesemua mereka diberi sagu hati bernilai RM200.

Sementara itu, sebanyak 21 sekolah rendah di dalam parlimen ini turut menerima suntikan dana RM15,000  bagi tujuan pembangunan Kelas Abad 21 yang merupakan projek kelestarian kelas.


 
Copyright © 2014 PenangKini.