BREAKING NEWS

Friday, 23 December 2016

Zakat : Sudah Tiadakah Orang Islam Di Pulau Pinang


Sudah tiadakah orang Islam yang layak di Pulau Pinang, sehingga pengagihan zakat dilakukan oleh orang bukan Islam?

Sedikit demi sedikit, hari demi hari, tembok besar yang memagari Islam semakin menipis, mula retak gara-gara sikap orang Islam sendiri yang sanggup menjadi kuda dan kayu.

Selama ini, urusan berkenaan hal ehwal Islam, diuruskan sendiri oleh orang Islam tanpa ada campurtangan dari yang bukan Islam. Ia adalah ibarat “konsensus”, dan selama ini orang bukan Islam sendiri tidak pernah cuba atau mahu campurtangan.

Keadaan tersebut, seperti ditelan masa, dan sejak 10 tahun yang lalu, beranjak-anjak sehingga membawa kepada peristiwa-peristiwa besar yang mencabar kedaulatan Islam di negara ini. Pertikaian ke atas wang zakat, agama bayi yang baru lahir, sehinggalah laungan azan, menunjukkan gerakan terancang ini bukanlah suatu kebetulan.

Hal zakat ini adalah ibadah, hukumnya fardhu dan berbeza dengan derma atau sumbangan. Maka, mengapa menyerahkan ibadah kita kepada orang bukan Islam sebagai pengantaranya, sedang ramai lagi yang layak? Apatah lagi jika mereka dari golongan yang terkenal dengan sikap tidak menjaga kepentingan Islam, seperti yang diluahkan oleh rakan-rakan PAS kepada penulis.

Orang Islam sendiri tidak pernah mencampuri urusan kutipan, derma atau serahan yang dibuat dan dilakukan oleh penganut agama lain. Mungkin kita terlalu baik hati, sehingga lalai dan tidak berhati-hati. Lihat kembali kronologi yang diberi, mereka semakin menghampiri. Halus.

Barangkali ada yang mencuba memberikan pembelaan, mengapa “perlakuan baik” itu ditolak.

Barangsiapa yang memiliki anggapan sebegini, mungkin sahaja mereka sering membayangkan hidup ini ibarat permainan monopoli. Sesiapa sahaja boleh turut serta, tatkala selesai bermain nanti semuanya berlalu begitu sahaja. Selesai. Walhal, orang Islam punya tanggungjawab dan beban moral apatah lagi ke atas agamanya.

Setiap agama ada aturannya dan dengan aturan inilah manusia menghormati dan memuliakan agama masing-masing. Bukan main hentam sembarangan dan sembrono.

Mengapa, sesuatu yang terpatri rapi, tidak dikekalkan sifatnya? Kenapa perlu kita membiarkan titisan-titisan penghakis jatuh ke atasnya, yang akhirnya akan merosakkan, malah meruntuhkan institusi dan amalan yang selama ini sempurna diuruskan?

 “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sampai mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” Q. S. [13] : 11 
Jika kita mahu mengubah nasib kita, nescaya Allah akan memperbaiki diri dan jiwa kita.

MYKMU
 
Copyright © 2014 PenangKini.