BREAKING NEWS

Monday, 26 December 2016

Zon Keselamatan di selatan Thailand dijangka dibuka 2017

Zon Keselamatan (SZ) di selatan Thailand yang dinantikan sejak sekian lama, dijangka dibuka sebagai percubaan di sebuah kawasan yang dipersetujui bersama pada separuh pertama tahun depan.
Jurucakap MARA Patani (Majlis Perundingan Patani), Abu Hafez al-Hakim berkata, projek perintis SZ itu akan menjadi satu lagi ujian dalam usaha membina keyakinan di antara kerajaan Thailand dan kumpulan militan.

“Sesungguhnya, ini adalah satu langkah kecil ke depan dan satu cabaran besar bukan sahaja bagi pihak A dan B (Thailand dan MARA), tetapi juga bagi wakil Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk tempatan yang akan menjadi sebahagian daripada SZ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MARA Patani adalah badan menaungi beberapa kumpulan militan di selatan Thailand dan terlibat dalam beberapa pusingan rundingan damai tidak rasmi dengan Bangkok, hasil usaha Malaysia.
Abu Hafez berkata, kedua-dua pihak menubuhkan Pasukan Teknikal Bersama (JTT) bagi membincangkan penubuhan SZ pada 26 Oktober lalu dan mengadakan mesyuarat pertama mereka pada tarikh itu.

Menurutnya, isu SZ masih relevan dan merupakan agenda penting yang akan dibincangkan.
“Perbincangan mengenai SZ merupakan penilaian sebenar tentang sikap saling mempercayai, komitmen, tolak ansur dan bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama apabila ia dilaksanakan kelak,” katanya.

Abu Hafez berkata, pada mesyuarat ke-2 JTT mengenai SZ pada 22 November lalu, MARA Patani mengemukakan 3 syor kepada kerajaan Thailand untuk dipertimbangkan dalam usaha membina keyakinan sebelum SZ dilaksanakan.

“Suasana pada mesyuarat ke-2 JTT lebih mesra serta santai dan ini menunjukkan selepas 2 tahun berbincang, indeks pembinaan keyakinan antara kedua-dua pihak mula membuahkan hasil.
“Bagaimanapun, jalan ke arah kerjasama dan persefahaman penuh masih jauh,” katanya.
Syor yang dikemukakan itu mengandungi jaminan keselamatan dan perlindungan terhadap wakil MARA Patani di peringkat tempatan serta pembebasan tahanan politik yang dianggap boleh membantu kejayaan pelaksanaan SZ.

Abu Hafez berkata, syor ke-3 ialah kerajaan Thailand membatalkan cadangan membina loji janakuasa menggunakan tenaga arang batu yang menimbulkan kontroversi serta penerokaan sumber asli lain di pedalaman wilayah selatan.

Pada mesyuarat JTT ke-3 mengenai SZ pada 20 Disember lalu, kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung draf Rangka Kerja Umum mengenai Zon Keselamatan dan ia akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kerja Bersama untuk diluluskan kelak.
Persidangan MARA Patani kedua pada 12 dan 13 Disember lalu dihadiri lebih 60 peserta, termasuk pemimpin terkemuka seperti Chegu Mae-Kutih, Awang Jabat, Kasturi Mahkota dan Ahmad Chu-Wo.
Pada akhir persidangan itu, MARA Patani menegaskan sekali lagi tentang komitmennya untuk menyelesaikan konflik Patani melalui dialog aman dengan Thailand.
 
Copyright © 2014 PenangKini.