BREAKING NEWS

Monday, 16 January 2017

4,000 nelayan terjejas teruk Projek tambak laut di Pulau Pinang


PULAU PINANG 15 Jan. - Lebih 4,000 nelayan di ne­geri ini terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit akibat projek tambakan laut Seri Tanjung Pinang di Tanjung Tokong di sini sejak kira-kira setahun lalu.

Tambah menyedihkan, wang pampasan sebanyak RM15,000 daripada pemaju projek ber­kenaan sempena sambutan ­Aidilfitri tahun lalu hanya boleh diagihkan kepada kira-kira 100 nelayan di empat bahagian negeri ini manakala beribu-ribu orang lagi­ nelayan lain berputih mata.


Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, projek berkenaan turut menyebabkan bot dan enjin serta peralatan menangkap ikan nelayan rosak, sekali gus mene­lan kos tinggi untuk diperbaiki.

Katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang seperti ‘pejam mata’ dan tidak melihat kesusahan kehidupan nelayan demi memastikan projek berkenaan berjaya walaupun tidak memberi pulangan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Kami menggesa kerajaan ne­geri dan pemaju projek ­me­nyemak kembali jumlah pampasan yang diberikan kerana nelayan bukan golongan mewah dan projek tambakan laut itu te­lah menyekat pendapatan harian seluruh nelayan di negeri ini.

“Keselamatan nelayan juga semakin terancam dengan sikap sambil lewa pemaju mengambil kontraktor dan operator tidak fasih berkomunikasi dan menggunakan bahasa isyarat ketika di laut menyebabkan laluan trafik menjadi semakin sesak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman bersama-sama lebih 200 nelayan di tengah laut Tanjung Tokong di sini semalam.

Sekumpulan petugas media turut dibawa menaiki bot bersama nelayan ketika demonstrasi itu bagi melihat sendiri kesan daripada projek tambak laut di kawasan berkenaan yang menjejaskan aktiviti nelayan.

Tambah Nazri, mereka yakin projek berkenaan tidak menepati prosedur operasi standard (SOP) apabila kawasan perairan sema­kin tercemar sehingga menyebabkan ekosistem di pantai negeri ini pada tahap kualiti yang rendah.

“Sudah banyak kali kita mende­ngar mereka mahu pulih­kan alam sekitar termasuk kawasan tambakan laut, tetapi sehingga hari ini masih tidak nampak kerja yang dijanjikan itu.

“Jika perkara ini dibiarkan, kita percaya ekosistem laut boleh pupus dan mata pencarian nelayan bertambah terjejas kerana kawasan tambakan laut itu merupakan kawasan utama nelayan menangkap ikan,” tegasnya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.