BREAKING NEWS

Monday, 23 January 2017

Dr M angkuh, diktator, kata PAS

Selepas dibidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak mahu bekerjsama dengan pembangkang lain, PAS menyerang balas bekas perdana menteri itu dengan berkata beliau seorang yang angkuh yang masih meneruskan “gaya kepimpinan diktator”.

“Kini beliau mahu menguasai PH,” kata Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, merujuk Pakatan Harapan yang mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Memang beliau boleh menguasai PH dan PH dilihat sangat perlukan orang seperti Tun Mahathir untuk kekalkan survival politik mereka. Tetapi tidak PAS.

“PAS tidak perlukan pemimpin angkuh seperti Tun Mahathir. Tun Mahathir sebenarnya bukan merendahkan PAS tetapi gerun dengan keupayaan PAS,” katanya.
PAS bertindak tidak menyertai gabungan antara PKR, Amanah dan DAP itu, yang turut menyaksikan kerjasama dengan PPBM. Sebaliknya, parti Islam itu mengadakan kerjasama dengan sebuah parti kecil pimpinan bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.


Dua hari lalu, Dr Mahathir membayangkan partinya PPBM akan menamatkan sebarang usaha meyakinkan PAS mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru yang dilihat akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Nasruddin bagaimanapun berkata Dr Mahathir menyasarkan serangannya kepada PAS kerana “berdendam” selepas “gagal menundukkan PAS agar menurut kemahuannya”.

“Serangan beliau sering dihala kepada PAS. Namun mereka cuba bersembunyi di sebalik tohmahan yang mereka cipta kononnya PAS akan bergabung dengan Umno dan memenangkan Umno melalui pertandingan 3 atau 4 penjuru.”
Menurutnya, parti yang menyebabkan pertandingan 3 penjuru adalah Amanah, parti yang ditubuhkan beberapa bekas pemimpin PAS.

“Malangnya sehingga kini beberapa parti lain seperti PAN membuat pengisytiharan bahawa mereka akan bertanding di kerusi yang ditandingi oleh PAS,” katanya menggunakan singkatan yang digunakan pimpinan PAS terhadap Amanah.
“Maka inilah yang akan membuatkan berlakunya 3/4 penjuru. Kenapa mereka nak salahkan PAS?” soal ahli Parlimen Temerloh itu.

“Selayaknya nafsu besar ingin bertanding di satu-satu kerusi mestilah diselarikan dengan kekuatan dan jentera parti bagi menghadapi parti lawan. Baru nampak kejujuran berjuang. Ini tidak, hanya tahu dan mahu menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri,” tambahnya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.