BREAKING NEWS

Thursday, 12 January 2017

A&W, KFC pun tak benarkan kek ‘tak halal’


Bukan McDonald’s Malaysia saja menjadi rangkaian restoran makanan segera yang melarang kek tanpa sijil halal dibawa masuk ke restorannya.
Selaras dengan standard Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), A&W Malaysia juga tidak membenarkan pelanggan membawa masuk kek yang tidak mendapat sijil halal, sementara makanan luar dilarang dibawa masuk ke semua restoran KFC Malaysia.
Kedua-dua rangkaian makanan segera itu berkata sebagai mematuhi standard halal, kakitangan juga tidak dibenarkan membawa masuk makanan luar ke dalam restoran, walaupun untuk dimakan sendiri dan restoran menyediakan makanan untuk setiap kakitangan.
Dalam temu bual menerusi emel, Naib Presiden dan CEO A&W Malaysia Samad Mohd Shariff berkata pelanggan yang mahu menyambut hari jadi di A&W akan dimaklumkan mengenai peraturan mengadakan parti di outlet itu.
“Kami tidak jual atau menyediakan kek hari jadi untuk parti, namun kami akan menasihatkan pelanggan membeli kek mereka dari kedai yang mempunyai sijil halal Jakim,” katanya kepada FMT.

Samad berkata selain kek yang mempunyai sijil halal, A&W tidak membenarkan makanan luar dibawa masuk ke restorannya.
Jurucakap KFC Malaysia berkata restoran itu tegas dengan dasar “tidak boleh membawa makanan luar” dan ia termasuk kek hari jadi.
“Namun, kami mempunyai pasukan parti untuk hari jadi kanak-kanak yang boleh menyediakan kek jika diperlukan.
“Kami bertanggungjawab memastikan standard halal dan kualiti kek itu untuk semua pelanggan. Tanda larangan membawa makanan luar diletakkan di semua outlet,” katanya kepada FMT menerusi emel.
McDonald’s Malaysia minggu lalu dikecam netizen dan kumpulan pengguna kerana dasarnya yang hanya membenarkan kek bersijil halal dibawa masuk ke restorannya, selaras dengan standard Jakim.
Langkah itu mendapat pujian Jakim.

 
Copyright © 2014 PenangKini.