BREAKING NEWS

Wednesday, 4 January 2017

Apa itu Bas Mahkamah bergerak & Apa fungsinya ?



TAMBUNAN 2 Okt. - Mahkamah Bergerak Sabah melangkah setapak lagi apabila ia memulakan perkhidmatan Bilik Bicara Mahkamah Bergerak di kawasan tamu mingguan di sini hari ini.
Majistret Mohd. Hafizi Abdul Halim berkata, Program Mahkamah Bergerak menggunakan bas menunjukkan komitmen pihak mahkamah untuk membawa keadilan dan perkhidmatan mahkamah ke kawasan pedalaman di seluruh Sabah.

Katanya, dengan menggunakan bas bergerak ini, masyarakat umum, terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman tidak perlu untuk berbelanja mengeluarkan kos yang tinggi.
"Ia sekali gus dapat meringankan beban perbelanjaan kerana majoriti mereka terlibat ini bekerja sebagai petani kecil-kecilan dan kerja kampung dengan pendapatan yang rendah," katanya kepada pemberita selepas menjalankan prosiding perbicaraan Bilik Bicara Mahkamah Bergerak itu.

Mohd. Hafizi memberitahu, selain mendengar dan membicarakan kes-kes jenayah, khidmat program bas bergerak ini juga menumpukan kepada pendengaran kes daftar lewat kelahiran.
Sementara itu, Pendaftar Mahkamah Keningau, Resta Hilda Lepos berkata, Bilik Bicara Mahkamah Bergerak menggunakan bas ini adalah kesinambungan daripada program mahkamah bergerak yang dilancarkan di Kota Kinabalu sebelum ini.

"Tujuan utama program ini adalah untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk-penduduk di pedalaman yang mempunyai masalah daripada segi kewangan dan pengangkutan untuk datang pejabat mahkamah di bandar," katanya.

Jelasnya, untuk Daerah Tambunan dan Keningau, perkhidmatan seperti ini adalah pertama kali diadakan tetapi bagi daerah-daerah lain di Sabah ia sudah beroperasi beberapa kali.
Katanya, sebanyak 40 kes yang didaftar untuk dibicarakan pada hari pertama ia diadakan di sini membabitkan kes-kes saman JPJ, polis dan pengesahan daftar lewat surat beranak.

"Buat permulaan, kami adakan di kawasan pekan tetapi pada masa- masa akan datang kami akan memasuki kampung-kampung terpencil," katanya



 
Copyright © 2014 PenangKini.