BREAKING NEWS

Friday, 6 January 2017

Bantah Bina Hotel Bajet Dekat Masjid


GEORGETOWN: Kira-kira 1,500 ahli Kariah Masjid Jamek Benggali di Lebuh Leith di sini, hari ini, mengadakan demonstrasi aman bagi membantah cadangan pembinaan hotel bajet yang didakwa terlalu hampir dengan masjid berkenaan.

Pengerusinya, Prof Dr Mohd Omar Ab Kadir, berkata pihaknya difahamkan bangunan pejabat di kawasan itu akan dinaiktaraf menjadi sebuah hotel bajet baharu, iaitu kurang 10 meter dari masjid terbabit.

"Hotel yang akan dibina ini terlalu hampir dengan masjid dan ia dibimbangi akan mendatangkan pelbagai masalah kepada kariah masjid.

"Selain itu, pembinaan hotel berkenaan juga dibimbangi akan meningkatkan gejala sosial di sekitar kawasan masjid ini," katanya pada sidang media di pekarangan Masjid Jamek Benggali di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini masjid berkenaan sudah dikelilingi banyak hotel bajet dan rumah tumpangan sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

"Sebelum ini, kawasan tepi masjid ini dijadikan sarang penagih dadah melepaskan gian serta kawasan golongan pondan melakukan maksiat.

Justeru, kita bimbang pembinaan hotel bajet yang baharu ini akan meningkatkan lagi kegiatan maksiat dan gejala sosial di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bangunan pejabat yang akan dinaiktaraf menjadi hotel bajet itu juga tidak sesuai dan melanggar syarat pembinaan.

"Bangunan pejabat itu tidak mempunyai ruang parkir yang mencukupi dan kita pelik bagaimana Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) boleh meluluskan pertukaran bangunan pejabat berkenaan kepada sebuah hotel bajet," katanya. -BH



 
Copyright © 2014 PenangKini.