BREAKING NEWS

Tuesday, 24 January 2017

Berkuat Kuasa Serta-Merta, Pejabat Tourism Seluruh Negara Ditutup - Mohamed Nazri




Bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini, berkuat kuasa serta-merta semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara ditutup.

Pengumuman dibuat oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun Pertama Freeport A'Famosa Outlet di Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Jelas beliau penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan itu tidak melibatkan pemberhentian kakitangan sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain dan langkah itu dijangka mampu menjimatkan kos kira-kira RM6 juta setahun yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.

Mohamed Nazri turut memaklumkan walaupun semua pejabat Tourism Malaysia negeri ditutup, kementerian akan menyediakan lima pejabat informasi di beberapa negeri.


Pejabat berkenaan akan disediakan di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Terengganu bagi kawasan timur, Johor bagi kawasan selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi Sarawak.

14 Januari lepas, kementerian mengumumkan bahawa empat pejabat Tourism Malaysia di luar negara iaitu New York di Amerika Syarikat, Perth di Australia, Stockholm di Sweden dan Johannesburg di Afrika Selatan ditutup serta merta tahun ini.

Ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) ke kawasan berkenaan.

 
Copyright © 2014 PenangKini.