BREAKING NEWS

Tuesday, 3 January 2017

Bunyi bising kerja penambakan laut ganggu penduduk




BAYAN BARU - Penduduk di beberapa buah pangsapuri di Bayan Baru, di sini, mendakwa kehidupan seharian mereka terganggu dengan bunyi bising dari kerja penambakan laut di belakang kediaman mereka.

Wakil penduduk, S Geeta berkata, penduduk di kawasan itu terutamanya Baystar Condominium terganggu dengan bunyi bising jentera yang digunakan untuk kerja penambakan itu.

Menurutnya, pemaju didapati menjalankan kerja penambakan tanpa mengira masa termasuk tengah malam menyebabkan kehidupan seharian mereka terganggu.

“Kehidupan kami di sini (termasuk beberapa buah pangsapuri lain di sekitarnya) terganggu dengan bunyi bising jentera yang menjalankan kerja penambakan. Apa yang lebih merunsingkan, kerja-kerja ini dijalankan 24 jam sehari tanpa henti setiap hari.

“Penduduk di sini termasuk saya terbeban dengan masalah ini kerana ia mengganggu waktu privasi kami ketika hendak berehat dan tidur pada waktu malam. Masalah ini kami tanggung sejak tahun lalu dan kini kami tidak mampu untuk bersabar lagi,” katanya.

Terdahulu, Geeta membawa sekumpulan media meninjau kerja-kerja penambakan yang sedang giat dijalankan.
Geeta berkata, penduduk di kawasan itu pernah membuat bantahan pada 2014 iaitu ketika projek berkenaan sedang dalam perancangan.

“Selepas membuat bantahan itu, penduduk ada membuat aduan melalui media sosial namun tiada maklum balas yang diterima dari pihak berkuasa. Saya juga membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) namun respons yang diterima tetap sama. Diam seribu bahasa.

“Saya turut membuat aduan di Facebook seorang wakil rakyat di sini tetapi dia meminta saya menghubungi pusat khidmatnya. Apabila saya menghubungi pusat khidmatnya, tiada siapa yang menjawab panggilan saya. Jadi, ke mana lagi saya perlu minta bantuan,” katanya.

Ditanya apa tindakan penduduk sekiranya masih tiada tindakan daripada pihak berkuasa berhubung masalah itu, Geeta berkata, kerajaan negeri sekarang perlu ditukar kepada kerajaan baharu pada  PRU14.

“Apa yang kami mahu adalah projek penambakan laut ini dihentikan. Selain masalah pencemaran bunyi, kami juga bimbang dengan alam semula jadi di Pulau Jerejak yang akan terkorban dengan projek pembangunan jika perkara ini tidak diambil perhatian,” katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.