BREAKING NEWS

Thursday, 19 January 2017

Caj pusat pelancongan tidak masuk akal


Parti Gerakan negeri membidas pengusaha pusat pelancongan di negeri ini yang mengenakan caj bayaran masuk yang disifatkan terlalu mahal dan tidak munasabah.
Timbalan Pengerusi Parti Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada pelancong berhubung perkara itu termasuk di Penang Rainbow Skywalk, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.
Menurutnya, projek The Top @ Komtar yang menelan belanja sehingga RM200 juta seolah-olah tidak mengalu-alukan kehadiran rakyat tempatan apabila bayaran masuk bagi orang dewasa dikenakan sehingga RM88 dan RM48 (kanak-kanak).
Selain itu, tambah beliau, pelancong asing bagi kedua-dua kategori tersebut pula dikenakan caj seba­nyak RM118 dan RM88 sekali gus dilihat sangat mem­bebankan.
Mengambil contoh, jika dua pelancong mahu melawat ke Pe­nang Rainbow Skywalk bersama dua kanak-kanak, jelasnya, mereka perlu membelanjakan lebih RM400 tidak termasuk caj tempat letak kereta yang jelas di luar kemampuan rak­yat biasa.
“Sebab itu kita mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang mengawal perkara ini dan menjelaskan rasional di sebalik pembinaan dan pengubahsuaian Komtar tersebut.
“Adakah hanya bermatlamat menerima kunjungan daripada golongan tertentu sahaja atau memberi peluang rakyat tempatan menikmati keindahan negeri ini?" katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tong Keong menambah, harga caj kawasan pelancongan yang membebankan itu bukan perkara baharu di negeri ini dan pada Mei 2011, Kerajaan DAP Pulau Pinang turut mengumumkan peningkatan caj kereta kabel di Bukit Bendera sebanyak 100 peratus.

utusan

 
Copyright © 2014 PenangKini.