BREAKING NEWS

Tuesday, 31 January 2017

Campur tangan DAP dalam isu fatwa bukti Islam, Melayu tidak terbela




BANGI, 1 Jamadilawal 1438H, Isnin – Campur tangan parti rasis dan cauvinis DAP dalam sesuatu fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan kegagalan menjaga kampung Melayu membuktikan kerajaan negeri tidak membela Islam dan Melayu.
Sekali gus, kenyataan Ahli Exco negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kasim, bahawa Islam dan Melayu terbela adalah tidak benar.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yussof, berkata DAP dan PKR mengarahkan semua fatwa yang diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, mesti dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) terlebih dahulu, sebelum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA).
Katanya, dalam isu ini, PAS ketika dalam pakatan rakyat menyatakan bantahan tertutup kepada Abdul Malik, tetapi sehingga kini amalan campur tangan dalam proses penfatwaan masih berlaku.
“Fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dimaklumkan kepada mesyuarat MMK yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada YDPA.
“Sedangkan menurut Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, fatwa tersebut hendaklah terus disyorkan kepada YDPA selaku Ketua Agama Islam di Negeri Pulau Pinang untuk diwartakan, tidak perlu melalui mesyuarat MMK.
“Berdasarkan maklumat, terdapat fatwa yang telah ‘dibekukan’ oleh Kerajaan Negeri P Pinang dan tidak dipersembahkan kepada YDPA, kerana tidak mengikut selera DAP dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Fauzi berkata, keadaan ini menjadikan MMK yang dipengerusikan oleh Guan Eng lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam hal ehwal hukum orang Islam, secara tidak langsung meletakkan fungsi Mufti Kerajaan Negeri dan YDPA lebih rendah daripada sepatutnya.
Selain itu, DAP yang menguasai kerajaan negeri secara terang-terang menghalang umat Islam daripada memartabat dan memperkasa undang-undang syariah apabila tidak menyokong pindaan Akta 355.
“Tindakan Kerajaan Negeri memberikan tanah bagi membina Mahkamah Syariah hanya dilihat sekadar kosmetik,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR juga gagal mengawal ancaman terhadap Islam apabila sengaja membiarkan Penang Institute, sebuah institusi di bawah kelolaan kerajaan negeri, mempromosikan pemikiran Islam Liberal, yang jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan telah difatwakan haram.
Beliau berkata, lebih buruk lagi, seorang penggerak Penang Institute yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dariDAP, Zairil Khir Johari secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan yang mempromosikan pemikiran Islam Liberal.
“Beliau juga didapati memperkecilkan institusi Mufti dan Jawatan Kuasa Fatwa Negeri apabila tidak hadir memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Fatwa, walaupun dipanggil beberapa kali oleh Mufti Kerajaan Negeri untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau,” katanya.
Oleh itu, katanya, PAS berpendirian bahawa kerajaan negeri tidak serius membela Melayu dan Islam di Pulau Pinang, bahkan, usaha yang dilakukan masih berada di dalam kerangka pembangunan konvensional yang hanya memfokuskan aspek material semata-mata dan mengabaikan pembinaan insan, spiritual dan ruhiyah.
ISMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.