BREAKING NEWS

Tuesday, 31 January 2017

Drama Wayang Dap… Tangan Depan Bunga, Tangan Belakang Pisau


BUKIT BENDERA, 31 Jan – “Seperti rakyat Pulau Pinang, Pas juga sebenarnya cukup masak dan matang dengan lakonan drama atau wayang Dap dalam politik umpama di depan tangan bunga di belakang pisau”, demikian pandangan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim.

Jelasnya, bagaimana kampung-kampung dan gerai-gerai kecil dirobohkan begitu juga dengan nasib Pas apabila kerajaan negeri pimpinan Dap memecat 300 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) daripada kalangan ahli parti itu.
“Ada juga Ahli Majlis PBT dari kalangan ahli Pas dipecat atau diberhentikan… Siapa yang memecah belahkan Pas?  Pas juga tidak sebegitu bodoh melihat bagaimana sebahagian pemimpin mereka yang kecewa, kalah dalam pemilihan parti bertindak menubuhkan parti baru dan kini parti tersebut ditatang bagai minyak yang penuh oleh Dap?
“Kini Dap umpama anjing tersepit… cuba bermain sandiwara tapi kita dapat rasakan seperti rakyat Pulau Pinang, Pas juga tidak mudah untuk terus diperbodohkan,”.
Tambah Rafizal, dalam keadaan sekarang Dap bukan sahaja bergelut dalam isu rasuah, kronisme malah percaturan politiknya bersama dengan PAN, PKR mahu pun PPBM nampaknya semakin memakan diri.
“Ini belum lagi masuk isu jawatan TPM yang dikatakan dirunding secara sulit dengan PPBM yang dilihat satu tindakan jalan belakang yang menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan PKR dan PAN.
“Malah tindakan Dap yang mahu menjalinkan kerjasama dengan BN juga jelas sesuatu yang cukup melucukan.  Ini kerana dalam Dap menyerang dan menghentam BN dengan pelbagai tuduhan tapi pada masa yang sama mahu menjalinkan kerjasama kononnya untuk selamatkan Malaysia… Dap nak selamatkan siapa sebenarnya kalau bukan partinya sendiri yang kini makin caca merba,” katanya lagi. 
 
Copyright © 2014 PenangKini.