BREAKING NEWS

Sunday, 22 January 2017

Guan Eng boleh pilih tarikh lain - Ketua Plos Negara

BUTTERWORTH: Tarikh boleh ditukar, pesan ketua polis negara kepada ketua menteri Pulau Pinang yang berang kerana polis yang mahu menyoalnya pada malam Tahun Baru Cina.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian selepas Lim Guan Eng tidak boleh memberi kerjasama kepada polis pada malam istimewa masyarakat Cina itu: “Ini menunjukkan polis sedia bekerja tanpa mengira hari dan waktu. Tarikh itu juga adalah hari bekerja bukan hari cuti.”
Guan Eng, yang sudah disoal polis di pejabatnya pada 13 Januari lepas selepas laporan polis dibuat terhadapnya, termasuk oleh seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, diberitahu akan disoal berhubung perkara yang sama tetapi pada malam Tahun Baru Cina, lapor Malaysiakini.
Ketua menteri dilaporkan berkata: Adakah mereka tidak tahu itu hari apa? Ia dapat difahami jika mereka tidak menghormati saya sebagai ketua menteri, tetapi hari sebelum Tahun Baru Cina adalah hari yang sangat istimewa bagi kami.”
Hari ini bapanya pula mencelah, menyifatkan polis “mengganggu” anaknya. Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang percaya polis menerima arahan daripada pihak atasan supaya mengganggu Guan Eng.

“Mungkin mereka mahu tangkap beliau pada malam Tahun Baru Cina. Itulah yang rakyat terpaksa hadapi,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah kepada pemberita di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Tetapi ketua polis negara berkata tiada arahan seperti itu.
“Apa kena mengena siasatan polis dengan arahan pihak ketiga pula? Kami tidak ada menerima arahan ‘kebudak-budakkan’ seperti yang disebut oleh Kit siang itu,” kata Khalid.
Beliau berkata polis tiada masalah untuk menukar temu janji 27 Januari ke tarikh yang lebih sesuai untuk Guan Eng.
Malam Tahun Baru Cina kali ini jatuh pada 27 Januari, dan merupakan malam yang menemukan ahli keluarga jauh dekat untuk makam malam sempena perayaan yang diraikan oleh kebanyakan orang Cina tanpa mengira agama. Guan Eng seorang Kristian.
“Pegawai penyiasat kes ini mungkin tidak perasan tarikh itu (malam Tahun Baru Cina) dan nak selesaikan siasatan ini segera. Jadi dia tawarkan tarikh itu,” kata Khalid.
Guan Eng disiasat berhubung atas dakwaan menghasut selepas membuat kenyataan mengenai cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada November tahun lepas.
 
Copyright © 2014 PenangKini.